Jumaat, 27 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (17)

Biarlah kebaikan kita hanya ALLAH yang tahu.
Keburukan sendiri kita luah dan mintalah belas ihsan dalam doa-doa kita.

Kebaikan orang lain jika bermanfaat kita kongsikanlah.
Keburukan orang kita tutuplah sebagaimana kita tidak mahu aib kita diketahui.

Bahaya teknologi hujung jari kalau jari-jemari kita lebih celaka dari lidah bercabang kita.

LELUCON KOMIK SANTAI LUAR KOTAK


Rabu, 25 Februari 2015

TOMBIRUO : ADAPTASI 100 PERATUS?

DITUBUHKAN sejak 2008 untuk penggemar karya novelis thriller ini, sehingga kini Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC), mengumpul hampir 70,000 pengikut di laman Facebook berkenaan.

Menerusi RAMFC, pelbagai input dan juga perbincangan di kalangan pengikut dapat dilihat apabila mereka menggunakan platform ini untuk berbincang dan bertukar pendapat mengenai karya-karya popular novelis hebat itu.

Apatah lagi, kini tiga produksi iaitu Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Layar Sunan Sdn Bhd dan Ideate Media Sdn Bhd sedang bertungkus-lumus dalam pembikinan adaptasi filem, Tombiruo: Penunggu Rimba.

Sebagai laman yang mengumpulkan hampir keseluruhan pengikut Ramlee, mereka juga tidak terlepas dalam membincangkan mengenai penghasilan filem ini, malah ada beberapa perkara yang mereka tekankan agar ianya tidak lari daripada pemahaman dan penyampaian asal menerusi novel.

Menurut salah seorang daripada admin RAMFC, yang dikenali sebagai Elle, pelbagai bentuk maklum balas dan sesi perbincangan yang melibatkan Tombiruo di kalangan pengikut dan pembaca tegar.

Katanya, walaupun Tombiruo masih lagi dalam proses mengukuhkan jalan cerita, namun ramai di kalangan pengikut mula melahirkan pendapat dan kerisauan akan pemilihan pelakon serta penceritaan yang bakal divisualkan.

"Dalam banyak-banyak perbincangan yang mereka suarakan di RAMFC, paling sering menjadi topik utama adalah mengenai pemilihan pelakon dan penceritaan di layar perak itu nanti.

"Apa yang saya perhatikan, mereka terlalu teliti dalam pemilihan pelakon dan tidak hanya mengharapkan populariti seseorang pelakon yang dipilih.

"Walaupun ada beberapa nama yang disebut-sebut, namun mereka tetap menyuarakan pendapat sendiri dengan nama-nama pilihan mereka yang dirasakan bersesuaian," katanya.

Tambah Elle, dari segi jalan cerita pula, ramai di antara mereka yang mahu perjalanan kisah Tombiruo diangkat 100 peratus daripada karya asal.

"Mereka banyak kali menyuarakan agar karya ini diangkat 100 peratus ke layar perak. Namun, dengan berhemahnya kami akan menerangkan kepada mereka bahawa adaptasi ini tidak semestinya perlu mengikut kesemua babak atau penceritaan asal.

"Bersesuaian dengan peredaran masa dan zaman, mereka perlu menerima perubahan dan pembaharuan dalam penceritaan. Pun begitu, pihak produksi perlu mengambil perhatian dalam perkara ini kerana mereka juga merupakan kelompok yang perlu diberi peluang untuk bersuara dan melontarkan buah fikiran.

"Kami membaca setiap pendapat mereka dan sekiranya ada penjelasan yang menarik, kami akan menyampaikannya sendiri kepada Ramlee terutamanya," katanya yang berharap agar perubahan yang dilakukan tidak begitu ketara.


Imaginasi watak Ejim

Selain pemilihan pelakon dan jalan cerita yang dibincangkan, ada di kalangan pengikut RAMFC tampil berkongsi beberapa lakaran untuk watak, Ejim, dari kaca mata mereka menerusi pembacaan dan penghayatan.

Salah seorang pelukis yang juga sepupu Ramlee, Awang Fauzi, turut memberi lakaran Ejim berpandukan imaginasinya setelah bertanya kepada Ramlee sendiri.

"Lakaran tersebut berdasarkan ciri-ciri dan gambaran penulis yang ada dalam novel. Idea melukis juga saya dapat dari bertanya sendiri penulis tentang pakaian, topeng dan bentuk tubuh badan Tombiruo. Melalui pembacaan dan pertanyaan tersebut saya membuat lakaran seperti dalam lukisan.

"Pakaian Tombiruo saya ambil daripada motif pakaian tradisi suku kaum Kadazan-Dusun kemudian olah sedikit menjadi pakaian ala primitif yang diperbuat daripada kulit kayu. Topeng pula saya reka berdasarkan imaginasi sendiri melalui pernyataan Ramlee iaitu 'topeng penuh'. Nampak mistik tapi bukan menakutkan.

"Pedang yang digunakan ada motif kepala singa seperti yang tertulis dalam novel. Dari maklumat yang terkumpul maka terhasillah lakaran penuh Ejim. Pada saya Tombiruo ialah legenda masyarakat Sabah khususnya kepada suku kaum Kadazan-Dusun yang menggambarkan semangat hutan," jelasnya.

Tambah Awang Fauzi, apabila disebut legenda maka ianya adalah mitos penting dalam sejarah Kadazan-Dusun.

"Saya melihat sangat penting untuk mewujudkan satu lakaran watak yang menepati atau sekurangnya hampir dengan mitos lagenda tersebut kerana ia melibatkan sejarah, peradaban dan tradisi Kadazan-Dusun.

"Alhamdulillah lakaran saya mendapat komen yang positif dari peminat-peminat RAMFC," katanya lagi.


REAKSI PENGIKUT RAMFC

"Saya dapat tahu mengenai novel Tombiruo akan difilemkan menerusi Sinar Harian dan tentu sekali filem ini merupakan filem yang paling saya tunggu-tunggu dalam hidup.

Cerita yang diolah cukup baik dari hanya satu mitos di hutan Keningau. Saya memang peminat tegar Ramlee Awang Mursyid. Semua karya-karyanya saya akan beli dan baca.

Sebut sahaja tajuk novel saya boleh ingat satu persatu. Mengenai Tombiruo, saya ada baca berita pemilihan watak wartawan (Wan Suraya) dan saya gembira jika Juliava Evans dipilih menggalas watak tersebut.

Secara keseluruhannya saya memang tidak sabar untuk melihat Tombiruo dalam karakter yang diimaginasikan oleh Ramlee sendiri kerana selama ini, saya membayangkan dari imaginasi saya sahaja.” -Fatin G Hassan (Pahang)

"Sebagai pembaca, saya rasa teruja sangat apabila dimaklumkan bahawa novel kegemaran saya ini bakal difilemkan dan ditayangkan di seluruh pawagam tidak lama lagi. Namun, kalau boleh, ianya adalah 100 peratus daripada karya asal kerana apabila ditokok tambah, macam tak seronok pula.

Sebagai pembaca, saya sudah dapat memberi imaginasi sendiri apabila menonton filem itu nanti," -Hayati Abd Razak (Sabah)-

"Apabila mendapat tahu novel ini bakal diadaptasi, saya sangat teruja! Bagi saya, novel Ramlee Awang Murshid semuanya terbaik dan saya dapat rasakan filem ini akan mendapat sambutan hangat di kalangan penonton. Ini kerana jalan cerita novel ini adalah lain dari yang lain.

Pun begitu, kalau boleh, saya memang tidak mahu sekiranya ada babak yang dipotong namun tidak kisah sekiranya ada penambahan untuk mencantikkan lagi jalan cerita. Saya percaya, idea Ramlee sememangnya bagus dan dia tidak akan mengecewakan peminat serta pembaca.

Tapi rasanya kalau terlalu banyak pemotongan, ia akan memotong 'mood' peminat yang sudah mengetahui jalan cerita novel itu." - Beebee Aisyah Sayed Kadir (Sarawak)

Jumaat, 20 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (16)

Terkadang kita lupa dosa, salah dan silap yang orang lain lakukan adalah disebabkan oleh kejahilan dan kecuaian kita sendiri.

Rabu, 18 Februari 2015

MINTALAH PERTOLONGAN DENGAN SABAR DAN SOLAT

Ini koleksi kartun lama. Dilukis pada bulan ogos 2014. Baru kini berkesempatan kongsikan.

Jumaat, 13 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (15)

Wahai wanita
   Apakah kau mahu jadi busur panah syaitan?
Wahai wanita
   Tidakkah kau mahu jadi ketua para bidadari?

Kasihanilah kami para lelaki yang imannya cepat goyah.

Ahad, 8 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (14)

Sunnah Nabi adalah perkara yang wajib kita yakini. Sahabat amal semua cara hidup Nabi tanpa tahu kelebihan setiap Sunnah. Apabila Sahabat mendengar sabdaan tentang kelebihan Sunnah, amalan Sahabat bertambah hebat.

Hari ini atas kelemahan iman kita, ada dikalangan kita tidak yakin dengan Sunnah dan cara hidup Nabi walaupun banyak fadhilat telah kita dengar tentang Sunnah. Tetapi apabila ada kajian sains tentang satu-satu Sunnah, kita merasa bangga dan terus amal sunnah tersebut.

Persoalannya, adakah kita yakin dengan Sunnah atau sains?

Khamis, 5 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (13)

Dalam laman sosial ada perkara yang boleh kita kongsikan dan ada perkara yang kita kena jaga terutamanya hal-hal peribadi dan hal-hal yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan.

Keburukan di dunia ini satu hal. Keburukan di akhirat siapa tahu.



Isnin, 2 Februari 2015

PENTINGNYA FAHAM (12)

Niat itu penting dan niat tidak pernah menghalalkan cara. Selalulah berniat hendak belajar bukan mengajar. Walau bagaimanapun niat mestilah selari dengan perbuatan. Jangan niat di hati nak belajar tapi cara perbuatan macam nak mengajar dan adakalanya kurang ajar.