Khamis, 3 April 2014

KOMIK INDIE

Aku serius dalam berkartun. Juga serius dalam memartabatkan kartun-kartun Malaysia. Aku suka melihat kartun-kartun tempatan yang berlambak dipasaran tempatan. Seperti yang anda tahu majalah-majalah kartun yang dipelopori majalah kesayangan ramai iaitu majalah GILA-GILA dan lain-lain terjual laris dikedai-kedai buku. Seiring dengan itu makin ramai juga kartunis-kartunis muda berbakat muncul. Dan yang menjadi perhatian aku tentulah kartunis yang membawa gaya kartun Malaysia. Maaf aku tidak berkenan dengan kartun luar yang dilukis oleh anak tempatan. Biarlah kartunis Jepun melukis manga. Biarlah kartunis barat melukis gaya barat. Biarlah mereka dengan gaya mereka. Kartun kita karya kita wajah kita.

Kemunculan bakat-bakat baru kartunis tempatan yang ramai tidak dapat menampung kekosongan berkarya dalam majalah-majalah tempatan. Ada antara mereka dengan inisiatif sendiri menghasilkan Komik sendiri yang dipanggil Komik Indie. Aku kagum dengan kesungguhan mereka berjaya menghasilkan beberapa siri Komik Indie. Ada juga sebahagian daripadanya yang telah aku miliki. Karya-karya mereka mudah didapati dan dibeli secara dalam talian dan di acara yang dianjurkan mereka. Namun kesungguhan mereka belum cukup terbayar kerana pasaran mereka kecil, sedikit dan agak terhad.

Aku bercita-cita membuka syarikat penerbitan dan percetakan dan akan membantu bakat-bakat baru kartunis mencetak dan memasarkan buku Komik mereka sehingga boleh dibeli dan dipasarkan diseluruh Malaysia. Target aku -sudah tentu- hanya pada bakat-bakat baru kartunis yang membawa dan melukis gaya kartun tempatan atau lebih dikenali sebagai Kartun Malaysia. Cita-cita itu tidak mungkin tercapai kalau aku duduk berangan sahaja.
Mungkin aku juga perlu berusaha menghasilkan komik sendiri satu hari nanti.