Isnin, 31 Disember 2012

2013

 Adalah sesuatu yang tidak adil
Jika aku, kau, dan kita semua
Menilai seseorang
Dari hitam dan gelap masa silamnya
Dari rosak dan cacat masa lalunya
Dan dari kucar kacir hari-hari kelmarin.

Khamis, 20 Disember 2012

AIB

Sebagai manusia aku tidak lari dari melakukan kesilapan, kesalahan, keaiban dan banyak kekurangan. Oleh itu janganlah memandang aku sebagai manusia sempurna yang boleh buat semua perkara tanpa silap dan salah. Selalu juga berlaku error ketika aku mengerjakan dan membuat sesuatu.

Kadang-kadang aku mendengar atau mengetahui aib seseorang. Aib boleh jadi apa saja. Tersurat maupun tersirat. Sebolehnya aku akan simpan aib itu dengan sangat baik. Tidak mungkin aku akan menceritakan pada umum. Tapi sebagai manusia biasa yang biasa yang bukan luar biasa agak sukar untuk aku menutup mulut yang penuh dusta ini. Rasa gatal je nak bercerita aib, gosip dan fitnah-fitnah orang lain. Macamlah diri sendiri perfect sangat.

Walaubagaimanapun aku punya dua cara menceritakan aib itu. Pertama, aku akan mengubah latar dan suasana sebenar cerita itu. Kedua, aku tidak akan sama sekali menyebut, memberitahu, atau mendedahkan identiti orang tersebut ataupun aku akan menggunakan ganti nama si polan, mamat tu, minah tu, atau bukan nama sebenar. Tapi tidak semua aib aku akan cerita. Ada juga yang aku diamkan saja sehingga mungkin aku akan lupa. Anda janganlah risau takut aku menceritakan aib anda itu sebab aku cuma seorang kartunis. Bukan penglipurlara. Bukan pembawa fitnah. Bukan pengosip.

Begitu juga dalam berkartun. Membawa isu ringan atau berat tidak memberikan kartunis bebas bersuara atau berkarya. Kartunis terdedah dekat dalam menceritakan aib seseorang, dua orang, kumpulan orang, atau orang-orang tertentu. Sebagai kartunis aku akan berhati-hati dalam mereka cerita dan akan menyusun dialog dengan sebaik-baiknya terutama yang menyentuh sensitiviti, aib, sindiran, gosip, satira dan sebagainya. Kata-kata dalam dialog juga sangat penting untuk aku susun supaya pembaca dapat memahami dengan jelas dan tepat. Tak perlu berbunga-bunga sangat. Ikut kesesuaian cerita, watak dan latar. Nampak saja mudah tapi kalau silap boleh huru hara juga. Bukan senang nak jadi kartunis sebenarnya.
Aku kartunis.
Bukan pemain boneka.
Aku tidak tikam belakang.

Selasa, 18 Disember 2012

KARTUN PICISAN

Aku punya wawasan besar dan visi yang jelas dalam berkartun. Sejak mula aku melukis iaitu ketika aku kecil -sudah tentu- aku sudah mempunyai pandangan yang optimis tentang kartun. Ini serius. Aku bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang kartunis yang bukan saja popular tetapi juga disegani, berpengaruh, dan mencipta fenomena. Bukan itu saja, aku juga mahu membina empayar sendiri dalam bidang ini.

Untuk tujuan itu aku sudah pun mencapai beberapa matlamat yang aku rancang sejak dulu. Salah satunya ialah menjadi kartunis. Alhamdulillah aku kini telah pun bergelar kartunis majalah GILA-GILA. Masih ada banyak lagi tangga yang perlu aku daki sebelum sampai ke matlamat yang besar itu. Mungkin kedengaran agak pelik sedikit. Kenapa bercita-cita ingin menjadi kartunis? Kenapa tidak pilih doktor, polis, jurutera, atau pemuzik. Pemuzik? (kata Ibu mertua Kassim Selamat). Soalan itu aku sukar nak jawab. Cuma apa yang boleh aku kata ialah aku berjiwa seni.

Apa yang harus aku buat sekarang ialah mula. Ya mula melakukan apa yang sepatutnya aku perlu buat bagi mencapai matlamat besar itu. Dalam kepala otak aku yang agak serabut ini aku akan mula dengan kartun bertemakan isu kecil-kecil. Aku sendiri namakannya sebagai kartun picisan. Kerana pada aku sudah ramai kartunis yang membawa isu berat atau mungkin sederhana. Jadi biarlah aku yang masih kecil ini membawa isu-isu yang kecil-kecil.
Aku ada kelebihan boleh melukis sambil tidur. Hahaha tak percaya? Tak caya sudah.

Jumaat, 7 Disember 2012

SEJENIS

Berdasarkan pengalaman aku yang cetek aku dapat mengklasifikasikan manusia itu kepada beberapa jenis. Pertama ialah orang yang bila bercakap selalu merendah diri. Kedua, orang yang selalu memuji diri apabila bercakap.

Jenis yang pertama ini terbahagi pula kepada dua pecahan. Pecahan satu, dia merendah diri kerana memang dia sedar kekurangan diri. Pecahan dua, dia merendah diri kerana sebenarnya dia minta dipuji. Contoh ayat "Ish aku ni bukannya cantik pun. Siapa la nak kan..." atau "Aku tak pandai macam kau." Dalam hati dia menunggu kita memuji dia macam ni lebih kurang "Kau ni merendah diri pula. Siapa cakap kau tak cantik. Mesti ramai yang admire kat kau" atau "Aku pandai? Kau tu yang cemerlang. Perli aku le tu." Dengan itu maka kembanglah lubang hidung dia.

Jenis yang kedua pun terbahagi kepada dua cabang. Cabang satu, dia memuji diri kerana mahu menutup kekurangan diri. Tak kira la dengan cara menipu atau mereka-reka cerita. Contoh ayat "Aku bukan nak cakap besar tapi kalau setakat benda tu kacang je cuma aku saja tak nak menunjuk" atau "Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku bz sekarang. Banyak kerja nak buat. Design la master plan la itu la ini la. Sory k..." Tujuannya hanyalah untuk mengelak buat kerja. Cabang dua, dia memuji diri kerana dia ni jenis suka menunjuk, sombong, dan tidak suka duduk di bawah orang lain. Contoh ayat "Aku setakat kerja bawahan ni tak layak la. Aku paling busuk pun jadi penasihat je" atau "Kau cermin la diri tu sebelum nasihat aku. Kau ingat janggut kau panjang kau alim? Aku ni AJK surau. Kau ada?"

Ada lagi satu jenis iaitu mereka merupakan gabungan kedua-dua jenis di atas. Biasanya mereka akan berkata, bercakap atau bersembang secara retorik. Contoh ayat "Rajinnya kau. Lepas ni boleh jadi pengarah la" atau "Kau kerja rajin sangat pun yang kaya bos juga." Kadang mereka berdialog secara positif. Contoh ayat "Untung syarikat ni ada pekerja macam kau" atau secara negatif. Contoh ayat "Kau kalau malas kerja baik berhenti je."  Kadang mereka sedikit propaganda. Contoh ayat "Betul Joe bos cakap kat aku nak naikkan pangkat kau jadi penolong dia sebab kau rajin sangat" atau "Kau jangan tak tahu aku dengan bos tu walaupun takde pertalian tapi kami dah macam adik-beradik kembar." Kadang mereka bercakap secara menyindir, kadang jujur, kadang putar belit, kadang double meaning, dan kadang secara gurau sama ada gurau biasa atau melampau. Walaubagaimanapun itu cuma pemerhatian peribadiku sahaja. Mungkin ada kesilapan dalam mengkategorikan karekter manusia. Tapi apa peduliku betul atau salah. Aku bukan ahli psikologi.

Memerhati gelagat manusia, panorama sekitar, melihat karekter, melayan perbualan, mendengar radio, menonton television atau membaca selalu memberikan aku banyak idea dalam berkartun. Rasanya anda tergolong dalam golongan mana? Jenis satu, dua, atau tiga? Atau anda 'sejenis'?
"Ala U ni tak baik tau cakap I sejenis. Jahat"

Ahad, 2 Disember 2012

SENSITIF #1

Aku tidak akan sama sekali menulis atau melukis kartun yang menyentuh isu-isu berat yang berkisar tentang sensitiviti terutamanya isu-isu agama, politik, perkauman, budaya, kenegerian, dan rasisme. Juga tidak akan menyentuh isu-isu kemasyarakatan yang menjurus kepada terang-terangan menghina, menjatuhkan maruah, memperlekeh dan seumpamanya.

Aku sangat mengagumi beberapa karyawan dan kartunis yang dapat menulis dan melukis genre berat ini tanpa seberkas pun menyebabkan sensitiviti sesiapa tercalar seperti kartunis tersohor Datuk Lat, Jaafar Taib, dan beberapa orang kartunis lain.

Untuk menjadi seperti mereka memerlukan bukan sedikit ilmu. Kajian demi kajian perlu dilakukan. Olahan demi olahan perlu dikembangkan. Isu mesti didalami dan difahami dengan betul. Sangat wajib dipastikan kesahihan dan kebenarannya. Apatah lagi kalau bab yang menyentuh sekitar akidah. Takut-takut pembaca yang cetek ilmu salah memahami hakikat. Bukan hanya genre yang menjurus kepada akhirat tetapi juga berkaitan dengan duniawi sangat perlu kepada ilmu dalam penyampaian berbentuk kartun.

Aku akan menggelak sekerasnya melukis genre berat ini kerana ia bukanlah dalam bidang kepakaranku. Kartunis juga punya tanggungjawab dan integriti dalam berkarya. Aku tidak akan sewenangnya membawa isu yang aku belum ahli kerana cetek ilmu boleh menampakkan kejahilan dalam berkarya atau paling tidak akan dilihat bodoh oleh pembaca. Kenapa aku tidak berani masuk ke dalam genre ini akan ku ceritakan kemudian.
 Kekusutan fikiran kadang kala membuahkan hasil yang tidak kurang sensitif.

PROMO ISU GG 742

Dalam majalah GILA-GILA 742 yang baru ini aku persembahkan tiga kolum kartun tetap aku yang sudah bertahun usianya. Tiga kolum ini sangat penting bagi aku. Sehingga sekarang aku masih setia dengan kolum-kolum ini. Terima kasih kepada Big Boss -En Jaafar Taib- yang sudi menerima genre kartun aku. Anda layan la sedutan dari kartun aku dalam GG 742 ini.



Nak baca lebih kena la beli majalah GILA-GILA sekarang juga. Jangan berlengah nanti habis lak. kalau rasa malas nak pergi kedai buku tu langgan je la di www.cesb.net.my Kalau ada komen tu jangan malu-malu mengomen dalam blog ni.

GILA-GILA 742

Cuti sekolah sudah bermula. Rugilah kalau anda bercuti tanpa majalah GILA-GILA. Buat pengantin baru kalau takde apa nak buat malam-malam tu sebab tengkujuh, hujan, banjir, dan kesejukan belilah majalah GILA-GILA yang tengah menggila dipasaran sekarang. Bukan apa sambil-sambil menunggu masa tu boleh la layan kartun-kartun Malaysia. Hehehe