Rabu, 31 Oktober 2012

TIDAK KELAKAR

Apabila ada orang berkata bahawa karya kartun aku tidak kelakar maka aku akan berkata bahawa orang itu tidak ada 'jiwa' dalam menilai kartun-kartunku kerana aku tidak menyajikan kelakar dalam setiap kartun yang aku lukis.

Kau hanya akan faham jika kau ada 'jiwa'.
"Kartun ni kau lukis ke? Tak kelakar macam kartun dalam majalah lawak bodoh tu pun. Takde sence of humor langsung"
"Nampaknya kau belum faham banyak tentang kartun."

IDEA

Mungkin ada yang tertanya-tanya macam mana aku mendapat idea. Bagi kebanyakkan orang memang agak susah untuk menduga bagaimana idea itu muncul. Tapi bagi orang-orang seni, kreatif, karyawan, penulis, pemuzik, kartunis,  dan sebagainya idea itu terlalu abstrak untuk diterangkan. Hasil daripada idea itulah yang kadang-kadang boleh bicara dan menjawab persoalan anda.

Aku mendapat idea dengan berbagai cara. Kadang sambil duduk, sambil berbaring, sambil makan, sambil mandi, sambil menguap, sambil bersin, sambil berlari, sambil melompat, sambil merempit, sambil membaca, sambil menulis, sambil kerja dan macam-macam sambil lagi. Kadang sambil mencari idea pun aku mendapat idea. Pendek kata idea boleh datang bila-bila masa di mana juga tanpa boleh dirunding-runding.



Lebih kurang macam ni la aku mendapat idea.
Kartun ni anda boleh baca dalam majalah GILA-GILA 741, kolum Kajian Kes tajuk Gosip m/s 40.

GILA-GILA 741


Dalam majalah GILA-GILA terbaru ni ada beberapa kartun aku yang memang aku suka. Mungkin juga anda akan suka. Bukan sebab kelakar atau tidak. Tapi aku sendiri rasa sebab masa lukis tempoh hari aku rasa 'ada jiwa'. Nak lebih tahu beli la woi majalah ni sekarang. Kang abis kat kedai jangan nangis plak.

KEPAKARAN

Berbeza dari tahun-tahun sudah, korban tahun ini lebih istimewa dengan kehadiran warga Bangla seramai 6 orang. Bukan kerana mereka memang ketara berbeza dari segi rupa, warna kulit dan bahasa, tapi kerana ada satu keistimewaan warga Bangla ini yang boleh aku ungkapkan dengan satu kata iaitu efisien.

Kerja mereka memang cemerlang. Mula dari menjatuhkan, mengikat, melapah, dan memotong serta mengasing-asingkan bahagian lembu, semuanya dilakukan dengan lancar, cepat dan mempesona. Aku sangat kagum.

Tak macam orang kita yang agak lambat sedikit buat kerja. Lebih banyak bercakap, sembang dan berasap. Tapi tak semua la. Ada juga yang terror. Tak kurang juga yang terrorist.

Aku mendapat dua pelajaran dari kerja buat orang Bangla ni. Pertama, kalau apa-apa kerja dibuat oleh ahlinya atau orang yang pakar dalam sesuatu bidang maka kerja itu memang akan sukses. Kedua, ramai antara kita selalu menyalahkan orang lain bila kerja yang dia buat tak menjadi atau tak sempurna walaupun kita tahu orang tu memang kaki bangku dalam bidang itu. Menyalahkan, gelakkan, malukan, mengejek, meninggi diri, berlagak, cakap besar dan seumpamanya memang kepakaran kita.

Mendabik dada atau tepuk dada... ?

Selasa, 23 Oktober 2012

WTF

Apabila ada orang bertanya tentang sesuatu atau menyebarkan fitnah atau bergosip atau menuduh yang bukan-bukan atau sekadar bercerita maka jangan terburu-buru menjawab, melenting, mempersoal, mempertikai, memberi respon, atau menilai.

Ketika ada khabar angin mengatakan aku mengeluarkan kata WTF, aku hanya diam dan tersenyum. Agak lucu kedengaran statement itu. Aku menganggap ia hanyalah sebuah lelucon dan hiburan petang kerana WTF blh membawa seribu maksud. Ketika bebelan sedang berlangsung secara live, aku ditanya apa maksud WTF. Pura-pura tidak tahu atau sekadar pancingan atau retorik semata. Dalam hati aku berfikir akan maksud WTF. Di sini aku boleh senaraikan beberapa maksud WTF untuk menyangkal tuduhan tidak berasas itu.

Welcome To Facebook
World Teakwando Federation
Washington To France
Wak Turun Flight
Wong Tek Fong
Wang Takde Faham
What The Fish
Wo Tak Faham
Wrestling The Fan
World Trade Finland
Who The Fabulous
Wak Tok Faizal
Waktu Tuk Fikir
Wei Tak Faham2
Worst To Fashionable
Wifi Too Fast
Wanita Tetap Feminin
WhatsApp To Friends
...Bla bla blah

*Khabar angin tak boleh percaya sangat.



Satu perkataan sepuluh emosi. Korang rasa apa maksud WTF?

Rabu, 17 Oktober 2012

SEX

Di suatu pagi yang pening seorang murid lelaki yang terkenal dengan kelurusan bendul dan kelembapan otak berjalan menuju ke bilik guru. Mukanya berkerut kelihatan seperti ada sesuatu yang sedang difikirkan atau dirungsingkan. Tujuannya hanya ingin bertemu dengan cikgu sains bagi merungkai permasalahan yang bersarang dikepala otaknya.

Di pojok sana duduk anggun seorang perempuan lagi gadis yang cantik. Rupanya bersih bentuknya bujur bertudung manis. Dialah cikgu sains yang dicari oleh murid tadi. Sampai sahaja murid itu dihadapan cikgu sains dia langsung bertanya "Cikgu apa maksud sex?"

Terkejut dengan pertanyaan murid tadi, cikgu sains itu membetulkan tempat duduk. Terasa rimas bila ditanya tentang sex. Apatah lagi dia seorang anak dara sunti. Perasaan malu menguasai tapi sebagai cikgu yang berdedikasi dan berwawasan dia tidak mahu dinampak bodoh dihadapan murid. "Budak-budak sekarang kecil-kecil dah pandai cakap pasal sex," bisik hatinya.

Dia menarik nafas panjang. Dengan berhati-hati cikgu sains itu menerangkan secara terperinci tentang sex sesuai dengan aras murid yang bertanya tadi. Katanya "Sex ialah hubungan antara lelaki dan perempuan yang telah berkahwin." Sengaja dikatakan telah berkahwin kerana tidak patut seorang murid yang sebaya itu mengetahui yang tidak-tidak tentang sex. Kemudian dilanjutkan lagi maklumat-maklumat sex mengikut sains bermula dari hubungan kelamin, tentang persenyawaan sehinggalah bagaimana terjadinya bayi serta tempoh bayi dikandung dan dilahirkan. Seterusnya dia menjelaskan kepentingan sex kepada murid itu.

Semua penerangan itu dilakukan dengan berhati-hati dan terancang. Malah dalam aras yang mudah difahami. Murid itu maklum tapi menggeleng-gelengkan kepala seperti keliru adanya. Wajahnya yang polos merasa berat dan mengundang persoalan . Maka bertanyalah dia "Cikgu, jawapan cikgu bagi tu panjang sangat. Macam mana saya nak tulis dalam borang ni?"

Rabu, 10 Oktober 2012

KAU RASA

Aku tidak menulis tentang aku
Aku juga tidak menulis tentang kau
Jika kau rasa aku menulis tentang aku maka itu yang kau rasa
Jika kau rasa aku menulis tentang kau maka itu juga apa yang kau rasa.

Sabtu, 6 Oktober 2012

CODE

PERAH OTAK

Untuk melukis kartun memang mudah. Lebih kurang macam buat sambal belacan je. Yang susah ialah apa yang hendak dilukis. Ianya memerlukan aku memerah otak kuningku. Kadang-kadang idea tu datang tanpa diundang. Kadang-kadang aku perlu cari sampai bersimpul-mati otakku. Kadang-kadang susah nak cari. Kadang-kadang senang je seperti berkata bohong. Idea boleh jadi misteri. Macam orang cari duit syiling dalam longkang atau mengkuis-kuis longgokkan sampah untuk mencari sesuatu kadang dapat kadang kecewa.

 
Mungkin kerana otak aku semakin menguning aku perlu mencuci otak atau brain wash otakku dengan lebih kerap.

GILA-GILA 740


Tak yah cerita banyak. Gi beli sekarang kat kedai buku.

Isnin, 1 Oktober 2012

BERUK YANG PANDAI BERCAKAP

Ketika aku melewati suatu tempat aku terserempak dengan sepasang beruk yang boleh bercakap. Aku menghampiri beruk-beruk itu. Mereka tak henti-henti bercakap. Sampai saja aku dihadapan mereka maka mereka pun berhenti bercakap. Mereka tak langsung lari bahkan menggeleng-geleng kepala dan berpandang sesama sendiri sambil mengaru-garu kepala. Seraya mereka berbisik-bisik. Sekarang aku pula mengaru-garu kepala yang tak gatal.  Bukanlah sesuatu yang menghairankan melihat beruk bercakap. Tapi beruk itulah kehairanan kerana melihat aku -yang pada pandangan mereka sangat terpelajar- tak faham sepatah haram pun kata-kata mereka.

 
 Beruk: ("harap muka je hensem tapi tak faham bahasa beruk.")
Aku: ("macam la kau tu faham bahasa homosapien!")

KUNCI KEJAYAAN

"Dari tadi wa tengok lu pusing-pusing lu mau cari apa kawan?"
"... err saya cari itu kunci kejayaan. Ada jual ka?"

JANGAN TERLEBIH MENILAI


Aku tidak kata aku baik.
Aku juga tidak kata aku tidak baik.
Kau nilailah sendiri
kerana kau lebih pandai menilai diriku
berbanding diriku sendiri.