Rabu, 12 Ogos 2015

PENTINGNYA FAHAM (38)

Jika kita meletakkan kebahagiaan sebagai ukuran kejayaan maka dengan hal-hal kecil sekalipun kita dapat bersyukur dan merasa cukup kerana bahagia itu sederhana. Sesiapa saja boleh miliki tanpa syarat.

Walaubagaimanapun hakikat sebenar kejayaan hanyalah dalam agama Islam yang sempurna. Sejauh mana kita dapat taat perintah ALLAH dan jauhi larangan ALLAH mengikut cara dan Sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya orang kaya bawa agama dalam kehidupan maka dia berjaya. Sekiranya orang miskin bawa agama dalam kehidupan maka dia juga akan berjaya. Pemimpin-rakyat, majikan-pekerja, bujang-kahwin, lelaki-wanita, bahkan siapa saja yang jadikan Islam sebagai maksud hidup maka pasti dan pasti dia akan berjaya dunia dan akhirat.

Isnin, 13 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (37)

Zaman jahiliah dahulu apabila Islam datang dan iman telah masuk ke dalam hati-hati masyarakat jahiliah maka semua perkara yang buruk, arak, gaduh, permusuhan, perkauman, bahkan berhala ciptaan tangan-tangan, mereka sendirilah yang buang, henti dan selesaikan tanpa dipaksa atau didesak siapa-siapa.

Mereka kemudian menjadi Sahabat Nabi yang akhirnya bukan saja menjadi manusia terbaik tetapi mereka jugalah contoh kepada tamadun terbaik yang tiada tolok banding sehingga mereka mendapat gelaran Radhiallahu 'anhu dan diberi tamsilan sebagai bintang-bintang dilangit.

Perkara yang merubah seluruh kehidupan Sahabat sehingga dunia berada di bawah tapak-tapak kaki Sahabat ialah IMAN dan USAHA atas iman.

Selasa, 7 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (36)

10 akhir Ramadhan sudah kembali. Peluang yang hanya datang setahun sekali. Beruntunglah mereka-mereka yang menghidupkan malam dan mencari lailatulqadar dengan mengharap redha ALLAH.

Malangnya kita dalam fasa ke 3 Ramadhan ini kita masih lagi lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia. Sibuk dengan bazar, kuih raya, baju raya, mercun, minyak, tol sehinggalah sibuk kepada memuat naik status-status media sosial demi mendapat perhatian dan like.

(Sejujurnya aku cemburu dengan mereka-mereka yang dapat iktikaf 10 akhir Ramadhan di masjid-masjid demi mencari redha Illahi. Ya aku cemburu kerana akulah yang masih lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia itu. 😫)

Ahad, 28 Jun 2015

PENTINGNYA FAHAM (35)

Solat ialah tiang agama. Solatlah amalan pertama yang akan ditanya selepas iman. Malangnya, hari ini manusia lebih menjaga puasanya lebih dari menjaga dan memperbaiki solatnya.

Agak membimbangkan statistik orang yang bersolat hanya lebih kurang 20% sahaja daripada jumlah penduduk Islam di Malaysia. Yang bersolat 5 waktu penuh pula kurang dari itu. Yang solat berjemaah lagilah kurang peratusnya. Yang betul-betul solat sempurna tidak tahulah berapa peratus. Hanya ALLAH yang maha mengetahui.

Dalam jumlah yang solat itu entah berapa peratus pula yang mencuri dalam solat. Kadang-kadang yang mencuri itu bukan orang lain tetapi diri kita sendiri juga terutama ketika kita tergesa-gesa atau dalam keadaan kita sibuk melebihkan atau mengejar dunia. 

(Kawan, marilah kita sama-sama memperbaiki dan memperbaharui iman agar solat dan amalan kita menjadi lebih baik.)