Sabtu, 21 Disember 2013

BAJU T ST-T001

Koleksi sulung StokinTidur™ yang telahpun berada dipasaran dalam talian. Untuk membeli dan memiliki baju T edisi terhad ini boleh 'PM' ke fb/StokinTidur atau emel ke alamat kartunis4zee@gmail.com

Ahad, 1 Disember 2013

SENTUHAN KARTUNIS AMBO

Ambo ialah kartunis legend. Ambo sangat popular dalam majalah GILA-GILA era 90-an dulu dengan siri kartun MEGA MOVIE. Cerita dalam MEGA MOVIE berkisar tentang filem-filem Malaysia dan antarabangsa yang telah digarap dengan sangat lawaknya. Gaya kartunnya juga sangat hebat dan sangat detail. Kartun ini telah dibukukan oleh GILA-GILA dalam bentuk koleksi. Rasanya GILA-GILA sudah tidak keluarkan lagi koleksi ini tapi ianya ada dalam simpanan aku sebaris dengan koleksi-koleksi hebat yang lain.

Berjalan-jalan tanpa arah menemukan aku dengan kartunis otai ini. Beliau sangat ramah dan mudah didekati. Peluang yang jarang-jarang berlaku ini memang tidak aku lepaskan untuk berkenalan, berbual dan meminta beliau mengkarikatur muka aku. Apatah lagi secara percuma. Betul percuma. Tak tipu. Hasilnya memang hebat. Siapa tidak kenal dengan kartunis Ambo? Yang kenal pasti tahu kehebatan beliau melukis karikatur. Ambo adalah antara pelukis karikatur hebat di Malaysia. Sayangnya beliau tidak lagi melukis dalam majalah GILA-GILA.


Rabu, 2 Oktober 2013

SENTUHAN KARTUNIS SUKUN

Kalau anda pengikut setia majalah Ujang, tak kiralah majalah Ujang lama atau majalah Ujang baru, maka Kartunis Sukun memang tidak asing lagi kecuali anda memang makhluk asing yang terasing di planet asing antah berantah. Sukun adalah salah seorang legend dalam sejarah kartun Malaysia. Sukun amat popular dengan kartun Workshop dan watak Cupin dengan motornya.

Aku mengenali Kartunis Sukun di dalam alam maya. Itupun setelah disapa oleh Sukun sendiri dalam message fb. Itupun aku rasa macam beliau tersalah orang. Maklumlah aku ini siapa berbanding otai dan legend ini. Melalui message fb, kami selalu bercerita, bersembang, bertukar-tukar pendapat dan beliau secara peribadi telah memberi tip dan semangat untuk aku berkarya dalam arena kartun terutama dalam majalah GILA-GILA. Siapa sangka ada kartunis otai yang kenal aku melalui watak-watak kartun aku. Maka dengan murah hati Kartunis Sukun menghadiahkan aku sekeping kartun yang sangat legend. Tolonglah jeles ye.

SIRI SKETSA #9


PROMO ISU GG 752




GILA-GILA 752

Ala setakat RM5.50 sebulan apalah sangat. Berkorban apa saja harta ataupun duit...

Isnin, 16 September 2013

KOLEKSI

Apabila aku kekeringan idea atau buntu atau tandus idea maka perkara yang aku lakukan selain mencari-cari, merenung-renung, berkhayal, berimaginasi dan berfikir di luar kotak ialah membuka fail koleksi yang tersimpan kemas di dalam rak meja kerja.

Fail itu ialah fail simpanan koleksi kartun-kartun aku dari mula berkarya hinggalah kartun yang terkini. Aku akan membuka dan membaca lembar demi lembar, kartun demi kartun, dialog demi dialog sehinggalah aku bertemu dengan idea. Idea itu mungkin dari cerita, dialog, watak, ekspresi, atau apa saja yang aku temui dalam koleksi tersebut. Kemudian aku akan olah idea tersebut menjadi sebuah cerita baru yang lebih segar.

Aku sangat berbesar hati dan berharap pihak GILA-GILA dapat menjilidkan kartun-kartun aku menjadi buku koleksi untuk jualan umum.
Kadang-kadang seronok juga baca kartun-kartun lama.

Rabu, 28 Ogos 2013

CITA-CITAKU

Sejak kecil aku bercita-cita besar ingin menjadi seorang kartunis yang berjaya. Mungkin satu hari nanti aku juga boleh jadi seperti Datuk Lat. InsyaAllah.

Jumaat, 23 Ogos 2013

BENGKEL KARTUN 61


BENGKEL KARTUN 58


BENGKEL KARTUN 56


BENGKEL KARTUN 55


BENGKEL KARTUN 54


BENGKEL KARTUN 52


BENGKEL KARTUN 40


BENGKEL KARTUN 7

Balik kampung aku meyelongkar barang-barang simpanan di rumah. Beberapa artifak penting telah aku temui. Salah satu ialah keratan-keratan Bengkel Kartun kelolaan kartunis Rejabhad a.k.a Penghulu Gila-Gila atau lebih mesra dipanggil Pak Jab. Dalam simpanan aku hanya terdapat 8 helai keratan sahaja. Kalau anda pengikut setia majalah GILA-GILA mesti anda pernah baca kolum Bengkel Kartun ini. Setelah Pak Jab meninggal dunia maka kolum ini juga turut terkubur.

Kolum ini patut disiar semula di dalam majalah GILA-GILA atau dijadikan koleksi. Bagus untuk rujukan semua khususnya kepada para kartunis tanah air.


Sabtu, 3 Ogos 2013

SENTUHAN KARTUNIS AIE

Tak perlu nak diperkenalkan lagi. Rasa-rasa semua orang kenal dengan kartunis Aie yang popular sekitar tahun 90-an dengan kartun AKU HIDUP DENGAN BLUES dalam majalah Ujang terbitan Karisma Publication Sdn. Bhd. Jangan tanya aku kenapa sekarang majalah Ujang sudah dengan penerbit lain pula.

Aku berjumpa dengan kartunis Aie semasa Pameran Kartun TULEN Malaysia di Balai Seni Visual Negara sehari sebelum puasa tahun lepas. Aku mendapat komen positif bila aku menunjukkan kartun aku di dalam majalah Gila-Gila. Lama selepas itu aku berjumpa lagi dengan Aie lagi di Pesta Buku Selangor di Shah Alam Convention Center. Terbaiklah.


 Autograf dari kartunis Aie. 4zee - Terbang TERUS. Aku akan terus terbang bro...
Autograf sempena promosi komik BOBOI.

PROMO ISU GG 750




GILA-GILA 750

Sambil-sambil makan ketupat rendang tu jangan lupa hidangkan juga senaskah majalah GILA-GILA kepada tetamu.

Selasa, 30 Julai 2013

ORANG YANG GILA KUASA IALAH ORANG YANG JAHIL TENTANG KUASA.


AKU BERCINTA

Menjadi kartunis samalah seperti menjadi seorang pengarah filem. Sebagai kartunis menulis cerita dan dialog, mencipta watak, karekter, latar dan tema adalah tugas penuh. Di dalam cerita itu akulah pelakon utama, akulah pelakon tambahan, aku juga penata cahaya, juga pembina latar. Pendek kata semuanya aku kecuali kerja grafik. Bahkan jalan cerita juga aku yang mengarapnya. Jadi jelaslah bahawa akulah yang patut dianugerahkan piala Oscar atau sepatutnya dibaling telur busuk.

Melukis kartun memang mudah tetapi mencari idea cerita tidak semudah membuat sambal belacan. Seorang kartunis perlu masuk ke dalam cerita untuk memberi kesan dramatik dan emosi dalam karyanya sendiri. Sebelum menulis sebuah cerita, tema perlu dicari supaya hasil cerita tidak merapu atau kosong semata. Di dalam majalah GILA-GILA, aku punya tiga kolum tetap setiap keluaran iaitu KAJIAN KES, 10, dan 3M. Ketiga-tiga cerita membawa tema dan genre yang berbeza.

KAJIAN KES membawa tema umum yang mengupas tentang topik-topik sejagat dalam kehidupan seharian. Aku bercerita isu-isu semasa, perangai manusia, sikap, sosial, dan realiti hidup dengan cara satira, sindiran, retorik, paradoks, dan metafora.

10 adalah kolum aku bertemakan sekolah. Sama ada tentang pelajar atau cikgu. Aku percaya tema ini dekat dengan semua pembaca kerana semua orang pernah bersekolah. Aku menyelam dan mengupas isu-isu kecil yang biasa berlaku di sekitar sekolah. Dalam tema ini aku perlu menjaga kreadibiliti seorang guru yang jasanya mendidik manusia. Agak terkilan juga melihat ada kartunis mempersenda watak-watak berjiwa seperti cikgu, ustaz, pendakwah, dan sebagainya. Memang semua manusia tidak sempurna tetapi sebagai kartunis kita harus bertanggungjawab kerana pembaca terutama kanak-kanak akan terima atau terpengaruh dengan cerita-cerita yang disajikan. Kalau kartunis memberi imej yang buruk kepada watak berjiwa tersebut maka kanak-kanak akan memberi persepsi yang sama sejak usia mereka masih hijau.

3M pula merupakan kolum yang paling aku suka dan enjoy bila berkarya. Aku memberi tema cinta di sini. 3M adalah singkatan 3 nama watak dalam cerita itu iaitu Mail, Meon dan Meor. Aku sudah tua untuk bercinta. Jadi untuk menghidupkan tema ini aku bercinta dengan kisah-kisah romantik, belajar dari pengalaman, melihat realiti, membaca, menyelidik, berpuisi dan menjadi jiwang kemudian mengolah cerita tersebut menjadi jenaka dan lelucon. Hasilnya aku mentertawa diri sendiri, menangisi kekurangan diri dan belajar menerima hakikat.