Selasa, 30 Julai 2013

AKU BERCINTA

Menjadi kartunis samalah seperti menjadi seorang pengarah filem. Sebagai kartunis menulis cerita dan dialog, mencipta watak, karekter, latar dan tema adalah tugas penuh. Di dalam cerita itu akulah pelakon utama, akulah pelakon tambahan, aku juga penata cahaya, juga pembina latar. Pendek kata semuanya aku kecuali kerja grafik. Bahkan jalan cerita juga aku yang mengarapnya. Jadi jelaslah bahawa akulah yang patut dianugerahkan piala Oscar atau sepatutnya dibaling telur busuk.

Melukis kartun memang mudah tetapi mencari idea cerita tidak semudah membuat sambal belacan. Seorang kartunis perlu masuk ke dalam cerita untuk memberi kesan dramatik dan emosi dalam karyanya sendiri. Sebelum menulis sebuah cerita, tema perlu dicari supaya hasil cerita tidak merapu atau kosong semata. Di dalam majalah GILA-GILA, aku punya tiga kolum tetap setiap keluaran iaitu KAJIAN KES, 10, dan 3M. Ketiga-tiga cerita membawa tema dan genre yang berbeza.

KAJIAN KES membawa tema umum yang mengupas tentang topik-topik sejagat dalam kehidupan seharian. Aku bercerita isu-isu semasa, perangai manusia, sikap, sosial, dan realiti hidup dengan cara satira, sindiran, retorik, paradoks, dan metafora.

10 adalah kolum aku bertemakan sekolah. Sama ada tentang pelajar atau cikgu. Aku percaya tema ini dekat dengan semua pembaca kerana semua orang pernah bersekolah. Aku menyelam dan mengupas isu-isu kecil yang biasa berlaku di sekitar sekolah. Dalam tema ini aku perlu menjaga kreadibiliti seorang guru yang jasanya mendidik manusia. Agak terkilan juga melihat ada kartunis mempersenda watak-watak berjiwa seperti cikgu, ustaz, pendakwah, dan sebagainya. Memang semua manusia tidak sempurna tetapi sebagai kartunis kita harus bertanggungjawab kerana pembaca terutama kanak-kanak akan terima atau terpengaruh dengan cerita-cerita yang disajikan. Kalau kartunis memberi imej yang buruk kepada watak berjiwa tersebut maka kanak-kanak akan memberi persepsi yang sama sejak usia mereka masih hijau.

3M pula merupakan kolum yang paling aku suka dan enjoy bila berkarya. Aku memberi tema cinta di sini. 3M adalah singkatan 3 nama watak dalam cerita itu iaitu Mail, Meon dan Meor. Aku sudah tua untuk bercinta. Jadi untuk menghidupkan tema ini aku bercinta dengan kisah-kisah romantik, belajar dari pengalaman, melihat realiti, membaca, menyelidik, berpuisi dan menjadi jiwang kemudian mengolah cerita tersebut menjadi jenaka dan lelucon. Hasilnya aku mentertawa diri sendiri, menangisi kekurangan diri dan belajar menerima hakikat.