Apa yang sepatutnya berlaku dalam sesebuah mesyuarat? Jawapannya ialah memberi laporan, membentang agenda, mengenalpasti masalah dan membincangkan jalan penyelesaian seterusnya membuat keputusan atas perkara tersebut. Kemudian ditanya hal-hal lain atau hal berbangkit yang berkaitan. Mesyuarat seperti ini berjalan dengan lancar, terancang, dan teratur. Ahli mesyuarat berbincang, memberi pendapat, dan meluahkan pendapat masing-masing secara sopan. Diakhir mesyuarat ahli mesyuarat tahu keputusan, tugas, dan tindakan yang patut dibuat.
Tapi senario yang selalu berlaku adalah begini; selepas diberi mukadimah atau pembuka kata yang biasanya menyedapkan halwa telinga maka perbincangan bermula mengenai sesuatu masalah. Masalah yang dibincangkan berlarutan dengan tuduh-menuduh, salah-menyalah, nafi-menafi, tolak-menolak, nafsi-nafsi, dan percubaan menegakkan benang yang basah. Setelah beberapa minit keadaan ini berlanjutan kepada topik-topik yang menyimpang dan terbawa-bawa sehingga perkara yang tiada kaitan pun turut diceritakan. Kadang ada yang bercerita tentang pengalaman diri atau masalah peribadi. Setelah itu (mungkin kerana kelelahan atau bosan), masalah itu tergantung dan diabaikan tanpa keputusan penyelasaian seolah dilupakan seperti angin lalu.
Isu seterusnya dibincangkan pula. Keadaan yang sama berlaku tanpa keputusan. Akhirnya (kerana kesuntukkan masa) ditanya tentang hal-hal berbangkit. Kadang-kadang ada juga bangkitan yang tidak perlu. Mesyuarat ditutup dengan kesimpulan yang sangat mengesankan. Penutup bagi mesyuarat itulah yang selalu ditunggu-tunggu iaitu balik rumah atau makan-makan a.k.a acara melantak.
Minit mesyuarat dikarang cantik tapi hakikatnya isu belum selesai, samar, dan masih tergantung.
"Tuan-tuan dan Puan-puan, maksud kita adakan mesyuarat ialah bagi membincangkan dan mencari jalan penyelasaian. Nak sembang balik rumah la. Sini bukan pasar malam."