Selasa, 30 Julai 2013

ORANG YANG GILA KUASA IALAH ORANG YANG JAHIL TENTANG KUASA.


AKU BERCINTA

Menjadi kartunis samalah seperti menjadi seorang pengarah filem. Sebagai kartunis menulis cerita dan dialog, mencipta watak, karekter, latar dan tema adalah tugas penuh. Di dalam cerita itu akulah pelakon utama, akulah pelakon tambahan, aku juga penata cahaya, juga pembina latar. Pendek kata semuanya aku kecuali kerja grafik. Bahkan jalan cerita juga aku yang mengarapnya. Jadi jelaslah bahawa akulah yang patut dianugerahkan piala Oscar atau sepatutnya dibaling telur busuk.

Melukis kartun memang mudah tetapi mencari idea cerita tidak semudah membuat sambal belacan. Seorang kartunis perlu masuk ke dalam cerita untuk memberi kesan dramatik dan emosi dalam karyanya sendiri. Sebelum menulis sebuah cerita, tema perlu dicari supaya hasil cerita tidak merapu atau kosong semata. Di dalam majalah GILA-GILA, aku punya tiga kolum tetap setiap keluaran iaitu KAJIAN KES, 10, dan 3M. Ketiga-tiga cerita membawa tema dan genre yang berbeza.

KAJIAN KES membawa tema umum yang mengupas tentang topik-topik sejagat dalam kehidupan seharian. Aku bercerita isu-isu semasa, perangai manusia, sikap, sosial, dan realiti hidup dengan cara satira, sindiran, retorik, paradoks, dan metafora.

10 adalah kolum aku bertemakan sekolah. Sama ada tentang pelajar atau cikgu. Aku percaya tema ini dekat dengan semua pembaca kerana semua orang pernah bersekolah. Aku menyelam dan mengupas isu-isu kecil yang biasa berlaku di sekitar sekolah. Dalam tema ini aku perlu menjaga kreadibiliti seorang guru yang jasanya mendidik manusia. Agak terkilan juga melihat ada kartunis mempersenda watak-watak berjiwa seperti cikgu, ustaz, pendakwah, dan sebagainya. Memang semua manusia tidak sempurna tetapi sebagai kartunis kita harus bertanggungjawab kerana pembaca terutama kanak-kanak akan terima atau terpengaruh dengan cerita-cerita yang disajikan. Kalau kartunis memberi imej yang buruk kepada watak berjiwa tersebut maka kanak-kanak akan memberi persepsi yang sama sejak usia mereka masih hijau.

3M pula merupakan kolum yang paling aku suka dan enjoy bila berkarya. Aku memberi tema cinta di sini. 3M adalah singkatan 3 nama watak dalam cerita itu iaitu Mail, Meon dan Meor. Aku sudah tua untuk bercinta. Jadi untuk menghidupkan tema ini aku bercinta dengan kisah-kisah romantik, belajar dari pengalaman, melihat realiti, membaca, menyelidik, berpuisi dan menjadi jiwang kemudian mengolah cerita tersebut menjadi jenaka dan lelucon. Hasilnya aku mentertawa diri sendiri, menangisi kekurangan diri dan belajar menerima hakikat.

Isnin, 29 Julai 2013

DATELINE


Kau : Lamakah nak siapkan satu cerita kartun?
Aku : Sekejap saja. Yang lama itu bila nak cari idea.
Kau : Bila masa susah nak dapat idea?
Aku : Idea susah nak dapat masa tengah cari idea.
Kau : Jadi bila masa senang dapat idea?
Aku : Masa tengah tak nak cari idea. Masa itulah idea datang.
Kau : Bila masa paling sesuai nak cari idea?
Aku : Ikut mood.
Kau : Masa paling sesuai melukis kartun?
Aku : Ikut mood juga.
Kau : Masa bila tak ikut mood?
Aku : Masa dateline sudah dekat masa itulah idea turun mencurah, masa itu juga boleh lukis on time.

Huh!

SIRI SKETSA #6


Isnin, 1 Julai 2013

RAGAM MANUSIA


Aku bukan seorang penulis hebat yang mampu menghasilkan karya atau novel best seller.

Aku bukan seorang penglipurlara yang fasih yang mampu menyihir setiap pendengar dengan cerita-cerita di luar kemampuan fikir mereka.

Aku bukan seorang jurugambar professional yang dapat memegunkan momen secara dramatik dan merakam masa ke dalam persegi empat.

Aku bukan pelukis catan yang boleh membawa imaginasi manusia masuk dan melayang ke dimensi lain dalam catan abstrak.

Aku bukan penyanyi bersuara emas yang mampu membuat mulut pendengar ternganga dan bulu roma mengembang.

Aku bukan seorang pemuzik yang mahir bermain alat muzik yang mampu memukau pendengar dan penghayat muzik.

Aku bukan pelakon berbakat yang mampu membuat penonton kagum, ketawa, menangis, emosi, percaya, dan hilang kata.

Aku hanya seorang kartunis picisan yang mampu merakam ragam manusia melalui figura kartun, satira, humor, dan kuasa kata.

SIRI SKETSA #5