Sabtu, 18 Mei 2013

SENTUHAN KARTUNIS KULATT

Siapa yang tak kenal kartunis Kulatt? Dia salah seorang legend dalam majalah Gila-Gila sekitar tahun 80-an. Sempat bertemu muka dengan dia. Lepak-lepak sambil sembang di restoran Cerana sambil melukis. Kulatt dulu sangat popular dengan kartun MAT METAL. Kalau anda tak ingat memang anda bukan peminat tegar majalah Gila-Gila. Kulatt... lu memang cool. Peace.

Singlet ini antara koleksi simpanan aku. Simpan saja kerana sudah tak muat nak pakai.
Ingat karekter dalam singlet itu?

Jumaat, 17 Mei 2013

SIRI SKETSA #2


SIRI SKETSA #1

Aku ada lima buah buku lakaran yang sudah penuh. Jadi mulai saat ini aku akan cuba kumpulkan lakaran-lakaran yang mungkin terbaik untuk tatapan bersama.


Khamis, 16 Mei 2013

PETUA BERKARTUN

Allahyarham Rejabhad atau lebih dikenali dengan gelaran penghulu Gila-Gila adalah seorang lelaki hebat yang berjaya, bercita-cita tinggi dan punya matlamat jitu dalam berkartun. Melalui didikan beliau ramai kartunis hebat lahir termasuk aku. Cuma aku belum boleh dikatakan hebat lagi.

Semasa kegemilangan majalah GILA-GILA dulu, kartunis Rejabhad aktif dalam mencari bakat-bakat baru diseluruh Malaysia dengan mengadakan bengkel dan pameran kartun. Beruntungnya aku kerana semasa aku berumur 17 tahun aku berpeluang mengikuti bengkel kartun dan kartun aku dipamerkan dalam pameran kartun yang dianjurkan Balai Seni Lukis Sabah.

Apa yang lebih menarik dan sukar aku lupakan ialah pada masa itu aku dibawa jalan-jalan oleh beliau disekitar Kota Kinabalu melihat keunikan negeri bawah bayu. Aku berkesempatan membawa beliau ke rumah menikmati sedikit jamuan tradisional yang dimasak ibuku sendiri. Aku, ayahnda dan beliau sempat bergambar bersama ketika sedang makan dan aku tersentuh bila melihat gambar yang penuh emosi itu kerana dalam gambar tersebut hanya yang aku masih hidup.
Aku, Ayahnda, dan Pak Jab sedang makan ambuyat.

Sebelum beliau dijemput pergi, aku berpeluang berjumpa beliau sekali lagi iaitu semasa aku semester 2 di Universiti. Beliau membantu aku dalam menyiapkan assignment dengan memberi beberapa maklumat tentang kartun. Aku menghabiskan masa di dalam arkib Gila-Gila sebelum beliau membelanja aku makan tengahari di warung berdekatan. Alhamdulliah aku diberi markah A+ oleh pensyarahku Prof Dr Muliyadi Mahamood yang juga seorang penulis kolum DUNIA KARTUN dalam majalah Gila-Gila.

Kartunis Rejabhad popular dengan kartun Perwira Mat Gila, Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, dan banyak lagi. Beliau juga menulis petua berkartun, mencungkil bakat-bakat baru dalam kolum mekar GG, senyum pelajar, dan lain-lain di dalam majalah Gila-Gila.

Pengalaman dengan Penghulu Gila-Gila banyak mengajar bukan sahaja dalam memberi petua berkartun tetapi juga dalam banyak perkara. Al-Fatihah untuk beliau.
 Petua Berkartun ini bagus untuk rujukan semua kartunis lama dan baru.
Petua Berkartun di atas dipetik dari koleksi Rejabhad ini.