Isnin, 13 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (37)

Zaman jahiliah dahulu apabila Islam datang dan iman telah masuk ke dalam hati-hati masyarakat jahiliah maka semua perkara yang buruk, arak, gaduh, permusuhan, perkauman, bahkan berhala ciptaan tangan-tangan, mereka sendirilah yang buang, henti dan selesaikan tanpa dipaksa atau didesak siapa-siapa.

Mereka kemudian menjadi Sahabat Nabi yang akhirnya bukan saja menjadi manusia terbaik tetapi mereka jugalah contoh kepada tamadun terbaik yang tiada tolok banding sehingga mereka mendapat gelaran Radhiallahu 'anhu dan diberi tamsilan sebagai bintang-bintang dilangit.

Perkara yang merubah seluruh kehidupan Sahabat sehingga dunia berada di bawah tapak-tapak kaki Sahabat ialah IMAN dan USAHA atas iman.

Selasa, 7 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (36)

10 akhir Ramadhan sudah kembali. Peluang yang hanya datang setahun sekali. Beruntunglah mereka-mereka yang menghidupkan malam dan mencari lailatulqadar dengan mengharap redha ALLAH.

Malangnya kita dalam fasa ke 3 Ramadhan ini kita masih lagi lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia. Sibuk dengan bazar, kuih raya, baju raya, mercun, minyak, tol sehinggalah sibuk kepada memuat naik status-status media sosial demi mendapat perhatian dan like.

(Sejujurnya aku cemburu dengan mereka-mereka yang dapat iktikaf 10 akhir Ramadhan di masjid-masjid demi mencari redha Illahi. Ya aku cemburu kerana akulah yang masih lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia itu. 😫)