Rabu, 29 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (29)

Arak atau minuman keras seperti yang kita sedia maklum adalah mutlak hukumnya haram. Hari ini arak dijual secara terbuka di pasaraya-pasaraya besar, kecil dan kedai runcit yang bahkan ada dijual dan diuruskan oleh pekerja Islam sendiri.

Sangat menyedihkan keadaan ini kerana pekerja beragama Islam yang menjadi juruwang dan membuat transaksi jual beli arak daripada pembeli bukan Islam. Sekiranya anda boleh menegur maka terangkanlah dengan kasih sayang. Jangan menegur dengan cara membuka aib mereka. Mungkin mereka tidak tahu bahawa dosa arak bukan hanya jatuh kepada peminum sahaja.

(Betapa lemah iman kita. Saya hanya mampu kasihan dan mendoakan bila ternampak juruwang Islam berurusan dengan pembeli arak. 😢)

Khamis, 23 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (28)

Apabila seseorang itu berbuat atau berubah atau mendekatkan diri ke arah kebaikan ataupun melakukan ibadah atau mengamalkan sunnah maka orang kita akan menggelar dan memanggilnya orang alim, ustaz, ustazah, berlagak, tunjuk pandai dan berbagai lagi kata pujian berbunyi sindiran dan retorik.

Memuji tidaklah salah tetapi cara pujian itu walaupun kedengaran baik namun sesetengah orang merasa rimas dan tidak suka dengan gelaran tersebut. Terkadang pujian-pujian itu bukan memberi galakan tetapi ada kalanya menjatuhkan mental seseorang.

Apalah salahnya kita beri galakan, sokongan atau ucapan tahniah kepada mereka. Orang yang berbuat kebaikan bukanlah asalnya orang yang baik. Mungkin orang itu berasal dari latar hidup yang jahil atau buruk. Kemudian kita memuji begitu dan tanpa diduga senyap-senyap dia makin jauh dari kebaikan kerana merasa tersindir dan tidak layak.

Perubahan seseorang ke arah keburukkan atau menjauhi kebaikan mungkin berpunca dari sikap kurang matang, gurauan, dan sindiran kita sendiri. Hati-hatilah apabila mengeluarkan kata-kata. Lidah lebih tajam dari mata pedang.

Selasa, 14 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (27)

Dunia Darul Asbab.

Gunalah sebanyak dan sebaik mungkin asbab. Tapi jangan sampai keyakinan dunia masuk dalam hati kita. Yakin kita hanya pada ALLAH. Asbab tak boleh buat apa-apa. Yang buat segala-galanya ialah ALLAH.

Jika kita yakin pada asbab maka apa beza kita dengan orang bukan Islam?

(Sayalah itu 😭)

#metafora

Jumaat, 10 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (26)

Sabar adalah sesuatu yang subjektif dan berbeda antara setiap manusia. Ada orang sabar diuji dengan kesusahan. Ada orang sabar diuji dengan kesenangan. Ujian kesabaran juga berbeza. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Bekerja itu ujian, menganggur juga ujian. Bujang itu ujian, berkahwin juga ujian. Pendek kata kesabaran kita diuji setiap masa dan keadaan.

Terkadang kita menjadi ujian kesabaran orang lain. Terkadang orang lain pula menguji kesabaran kita. Jadi marilah kita meringankan ujian orang lain moga-moga kesabaran kita tidak diuji dengan berat. Bila kita bertolak ansur dan toleransi insyaAllah hidup kita akan aman.

(Tapi tahap kesabaran pun ada batasnya. Saya juga terkadang hilang sabar. Ah tak apa Malaysia masih aman)

SIRI SKETSA #27


PROMO ISU GG 770


GILA-GILA 770

38 tahun bertahan dipasaran. Rugilah kalau tak melanggan setiap bulan bhai.

Rabu, 8 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (25)

Doa adalah senjata orang mukmin. Semua doa akan dimakbulkan dan tidak ada satu doa pun yang akan ditolak. Sama ada doa kita dibayar tunai, dijadikan terhindar bala, atau dibayar di akhirat kelak. Maka berdoalah yang baik-baik. Doa yang paling mahal ialah doa hidayah.

Sangat digalakkan kita memperbanyakkan doa. Doa dan usaha perlulah selari. InsyaAllah akan dimakbulkan kecuali atas sebab-sebab tertentu doa akan tertolak seperti sumber darah daging kita haram. Setelah berdoa, berusahalah kemudian tawakal. Atas kelemahan iman, kita tawakal saja. Kemudian baru kita nak berusaha. Akhirnya bila semua tidak menunjukkan hasil barulah kita terhegeh-hegeh berdoa bagai.