Isnin, 29 April 2013

SENTUHAN KARTUNIS RAMZAHURIN

Istimewa tahun ini aku memaksa kartunis Ramzahurin yang popular dengan kartun siri Pak Johar, Eighty Something dan banyak lagi untuk melukis sesuatu untuk aku. Memang terbaiklah.
Yang hujung bertopi itu kawan sekolah aku sejak tingkatan 1 dulu.
Sama-sama dalam bidang yang sama.

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2013

Tiap tahun kalau aku berkunjung ke Pesta Buku di sinilah tempat aku melepak. Melihat kawan-kawan seangkatan melukis karikatur. Memang terangkatlah melihat kehebatan mereka melukis. Kepada anda jangan lupa berkunjung ke gerai pameran Creative Enterprise. Borong semua majalah dan koleksi GILA-GILA. Harga serendah RM1. Tak rugi beli. Kalau nasib tak baik dapat jumpa dengan aku. Bolehlah aku lukiskan orang lidi untuk kau nanti.


Ahad, 28 April 2013

BLOGGER UNTUK ANDROID

Kalau anda seorang blogger dan pemilik telefon bimbit android, aplikasi ini sangat berguna.

Ahad, 14 April 2013

JENAMA

 
Sebuah jenama yang bagus, selain terletak pada kehebatan produk dan monopoli pasaran, ianya juga terletak pada kekuatan dan keunikan nama, makna dan mudah diingat oleh sesiapa sahaja.

Apabila sesebuah jenama boleh menggantikan sebutan panggilan kepada sesuatu produk maka ianya sudah cukup membuktikan betapa jenama itu terkenal dan diterima umum. Contohnya, apabila ingin membeli filem negatif untuk kamera lama orang akan menyebut Kodak padahal Kodak itu ialah jenama bukan nama produk. Orang menyebut klorox apabila ingin membeli peluntur, menyebut pampers ketika mencari lampin pakai buang, dan meyebut Google untuk membuat pencarian internet (hanya menyebut beberapa contoh).

Orang-orang menyebut Kodak, klorox, pampers, Google, dan lain-lain bukanlah merujuk kepada jenama tersebut tetapi hanya mewakili produk yang diingini walaupun mereka membeli atau menggunakan produk jenama lain. Jika ini berlaku maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa jenama tersebut telah lama bertapak dan diterima serta glamor sudah tentu.

Aku berusaha keras untuk memajukan jenama StokinTidur™. Usia jenama ini masih mentah tapi aku akan kembangkan sedikit demi sedikit dengan produk kartun, t-shirt, dan lain-lain. Mungkin ramai antara anda yang mudah mengingati jenama StokinTidur™ kerana sebutannya unik. Atau mungkin kelakar. Atau apa-apa sajalah.

IDEA DAN KONSEP

Seorang pelanggan meminta aku membuat tiga rekaan logo untuk syarikat dia yang baru sahaja ditubuhkan. Kami berjanji berjumpa seminggu selepas pertemuan itu. Hari itu ialah hari ini.

Aku menunjukkan beberapa rekaan kepada dia. Biasanya aku akan membuat lebih dari tiga rekaan untuk persembahan. Dia melihat dengan teliti. Aku pada mulanya kagum tengok cara dia melihat rekaan-rekaan itu. Gementar juga ada. Lagaknya seperti seorang yang sudah lama bergiat dalam bidang seni.  Dalam fikiran aku mungkin selepas ini kami akan berbincang dan berdiskusi tentang rekaan-rekaan itu. Nampaknya aku perlu bercakap menggunakan istilah-istilah seni. Aku bersedia.

Kemudian dia pun berkata "Apa yang awak buat ini?" Ini soalan menguji. Aku pun menerangkan bagaimana proses menghasilkan rekaan-rekaan tersebut. "Mengarut!" kata dia. "Saya tengok semua ini macam main-main saja," sambungnya lagi. Dia mula mempersoal kenapa rekaan itu begitu begini. Aku biasa menghadapi pelanggan seperti ini. Memang sudah dijangka.

Aku menunjukkan buku lakaran aku kepadanya. Dia membelek buku itu. Aku berkata ini adalah idea dan lakaran. "Ini awak kata lakaran? Lukisan cincai macam budak kecil." Aku bersabar. "Apa kena mengena dengan gambar syarikat saya pula ini?" dia melihat beberapa gambar syarikat dan produk jualan syarikat dia ada di muka mula buku lakaran itu. Aku menjelaskan "Itu rujukan saya dalam menghasilkan logo syarikat encik. Saya membuat rekaan berdasarkan konsep syarikat encik," Dia mula mencebik. "Apa pula konsep-konsep ini? Ingat ini lagu ke ada konsep balada ada rock ada dangdut?" Aku tercabar. Aku tahu dan faham aku sedang berdepan dengan seorang yang buta seni dan ego tinggi melangit. Aku tahu apa yang orang tua ini inginkan dan tekaan aku tepat apabila dia berkata dengan gaya kononnya tahu semua "Saya tak nak konsep-konsep ini. Saya nak yang cantik. Rekaan awak ni langsung tak cantik. Tiada seni!"

Aku menarik diri. Tanpa bayaran sesen pun. Beberapa hari kemudian aku kebetulan lalu dihadapan syarikat orang tua itu. Di atas pintu syarikat terletak logo yang kononnya cantik dan berseni. Aku tak tahu siapa yang mereka cipta logo itu. Mungkin orang tua itu sendirilah. Kesian. Untuk mencipta logo sekurang-kurangnya seseorang itu perlu tahu asas seni. Perlu ada idea perlu ada konsep. Orang-orang awam macam orang tua itu hanya menilai cantik itu sebagai seni. Seni itu memang cantik tapi cantik saja belum tentu berseni.
"Kau tengah buat apa tu?"
"Err aku tengah cari idea ni Jo..."

SURATKHABAR BERSIRI

Mutakhir ini di mana-mana orang sibuk membaca suratkhabar. Betul suratkhabar adalah medium menyampaikan berita yang masih releven walaupun digugat oleh internet dan laman sosial yang lebih pantas menyampaikan berita. Tidak dapat disangkal lagi penjualan suratkhabar begitu laris.

Aku melihat trend baru wartawan suratkhabar. Pertama mereka pandai bermain isu dengan meletakkan tajuk yang melampau-lampau atau mengarut atau menghairahkan. Kedua mereka menulis cerita yang berbelit-belit dan menokok tambah sesedap rasa. Dan ketiga trend yang makin galak sekarang ini ialah mereka menulis isu-isu secara bersiri. Kalau anda membaca suratkhabar hari ini maka ceritanya akan bersambung esok lusa dan tulat. Bukan kerana cerita atau isu itu memang panjang tetapi sengaja ditulis bersiri. Macam drama. Aku menggelarkan ini sebagai suratkhabar bersiri.

Aku tidak minat membaca suratkhabar yang banyak cerita tak betul. Maaf. Bila membelek suratkhabar pertama sekali aku akan melihat kolum kartun. Selepas itu aku akan tutup atau membaca sedikit ikut mood. Aku belajar sesuatu tentang bersiri ini. Mungkin selepas ini aku perlu melukis kartun bersiri pula. Mana tahu lebih laris dari suratkhabar bersiri. Cuma aku masih belum ada idea nak buat cerita apa. Siapa ada idea? Boleh kita berkolaborasi. Kau tulis cerita aku lukis kartun.
"Aisehmen bersambung lagi. Macam drama swasta pula..."