Rabu, 12 Ogos 2015

PENTINGNYA FAHAM (38)

Jika kita meletakkan kebahagiaan sebagai ukuran kejayaan maka dengan hal-hal kecil sekalipun kita dapat bersyukur dan merasa cukup kerana bahagia itu sederhana. Sesiapa saja boleh miliki tanpa syarat.

Walaubagaimanapun hakikat sebenar kejayaan hanyalah dalam agama Islam yang sempurna. Sejauh mana kita dapat taat perintah ALLAH dan jauhi larangan ALLAH mengikut cara dan Sunnah Nabi s.a.w.

Sekiranya orang kaya bawa agama dalam kehidupan maka dia berjaya. Sekiranya orang miskin bawa agama dalam kehidupan maka dia juga akan berjaya. Pemimpin-rakyat, majikan-pekerja, bujang-kahwin, lelaki-wanita, bahkan siapa saja yang jadikan Islam sebagai maksud hidup maka pasti dan pasti dia akan berjaya dunia dan akhirat.

Isnin, 13 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (37)

Zaman jahiliah dahulu apabila Islam datang dan iman telah masuk ke dalam hati-hati masyarakat jahiliah maka semua perkara yang buruk, arak, gaduh, permusuhan, perkauman, bahkan berhala ciptaan tangan-tangan, mereka sendirilah yang buang, henti dan selesaikan tanpa dipaksa atau didesak siapa-siapa.

Mereka kemudian menjadi Sahabat Nabi yang akhirnya bukan saja menjadi manusia terbaik tetapi mereka jugalah contoh kepada tamadun terbaik yang tiada tolok banding sehingga mereka mendapat gelaran Radhiallahu 'anhu dan diberi tamsilan sebagai bintang-bintang dilangit.

Perkara yang merubah seluruh kehidupan Sahabat sehingga dunia berada di bawah tapak-tapak kaki Sahabat ialah IMAN dan USAHA atas iman.

Selasa, 7 Julai 2015

PENTINGNYA FAHAM (36)

10 akhir Ramadhan sudah kembali. Peluang yang hanya datang setahun sekali. Beruntunglah mereka-mereka yang menghidupkan malam dan mencari lailatulqadar dengan mengharap redha ALLAH.

Malangnya kita dalam fasa ke 3 Ramadhan ini kita masih lagi lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia. Sibuk dengan bazar, kuih raya, baju raya, mercun, minyak, tol sehinggalah sibuk kepada memuat naik status-status media sosial demi mendapat perhatian dan like.

(Sejujurnya aku cemburu dengan mereka-mereka yang dapat iktikaf 10 akhir Ramadhan di masjid-masjid demi mencari redha Illahi. Ya aku cemburu kerana akulah yang masih lalai dan sibuk dengan urusan remeh temeh dunia itu. 😫)

Ahad, 28 Jun 2015

PENTINGNYA FAHAM (35)

Solat ialah tiang agama. Solatlah amalan pertama yang akan ditanya selepas iman. Malangnya, hari ini manusia lebih menjaga puasanya lebih dari menjaga dan memperbaiki solatnya.

Agak membimbangkan statistik orang yang bersolat hanya lebih kurang 20% sahaja daripada jumlah penduduk Islam di Malaysia. Yang bersolat 5 waktu penuh pula kurang dari itu. Yang solat berjemaah lagilah kurang peratusnya. Yang betul-betul solat sempurna tidak tahulah berapa peratus. Hanya ALLAH yang maha mengetahui.

Dalam jumlah yang solat itu entah berapa peratus pula yang mencuri dalam solat. Kadang-kadang yang mencuri itu bukan orang lain tetapi diri kita sendiri juga terutama ketika kita tergesa-gesa atau dalam keadaan kita sibuk melebihkan atau mengejar dunia. 

(Kawan, marilah kita sama-sama memperbaiki dan memperbaharui iman agar solat dan amalan kita menjadi lebih baik.)

Rabu, 24 Jun 2015

PENTINGNYA FAHAM (34)

Puasa adalah satu ibadah yang dapat menimbulkan rasa simpati dan kesusahan golongan fakir miskin kerana dengan berlapar kita akan merasa betapa bersyukurnya kita hidup dilimpahi makanan dan kesenangan yang selalu kita bazirkan.

Bila timbul rasa simpati maka secara tidak langsung akan timbul rasa ingin menolong dan membantu golongan fakir miskin dan mereka yang dalam kesusahan. Apalah sangat kelaparan kita yang sekejap itu jika dibandingkan dengan kelaparan mereka? Dibandingkan dengan kebuluran dan kemiskinan di negara lain?

Puasa memang nak kita merasa lapar. Jadi berpada-padalah ketika makan sahur. Dan janganlah membazir semasa berbuka.

Isnin, 22 Jun 2015

PENTINGNYA FAHAM (33)

Ibadah puasa dapat melatih diri menjadi seorang yang penyabar, tenang dan peduli pada masa. Puasa bukan saja dapat merehatkan perut tetapi ianya juga memberikan kita 'kuasa' untuk melakukan amal ibadah yang lain.

Melihat anak-anak berpuasa adalah penyejuk mata bagi semua ibubapa. Walaubagaimanapun anak-anak kecil yang baru belajar janganlah kita paksa berpuasa bagai nak rak. Mereka masih kecil dan kewajipan berpuasa belum jatuh ke atas mereka. Jika boleh latihlah sikit-sikit. Separuh hari atau beberapa jam berpuasa. InsyaAllah cukup umur nanti mereka boleh berpuasa penuh.

Ibadah yang lebih utama perlu disemai sejak kecil lagi ialah solat. Orang yang solat insyaAllah akan berpuasa manakala orang yang berpuasa belum tentu mendirikan solat.

Sabtu, 20 Jun 2015

PENTINGNYA FAHAM (32)

Dulu-dulu budaya memberi juadah berbuka adalah amalan yang biasa dikalangan kita terutama golongan ibu-ibu. Apa yang mereka masak mereka akan berkongsi dan berbagi dengan jiran sebelah rumah. Walaupun tidak diminta jiran juga akan membalas dengan juadah yang dimasaknya.

Sejak dulu budaya ini sudah menjadi adat orang lama kita. Tahukah anda bahawa asal adat ini ialah Sunnah Nabi? Ya ini ialah Sunnah yang semakin dilupakan dan ditinggalkan.

Hari ini Sunnah sudah sangat asing. Yang terjadi ialah punah. Kita seronok berkongsi gambar makanan dengan semua orang. Kalau anda berkongsi resepi masakan atau memberi info tentang makanan tidaklah salah. Alangkah bagusnya jika kita kembali daripada punah kepada Sunnah.

(Saya adalah salah seorang yang punah. 😫)

Sabtu, 13 Jun 2015

SAF SOLAT

Lurus dan rapatkan saf.

Pastikan telefon bimbit dimatikan atau senyapkan.

Selasa, 9 Jun 2015

NANGIS

KISAH MAT ROCK (3)
Kalau kawan yang perli dan kutuk boleh tahan lagi. Biasalah kawan-kawan. Kita kenal perangai mereka.
Tapi kalau orang masjid pun perli dan kutuk juga siapa boleh tahan perasaan? Belum lagi kalau diperli dan dikutuk oleh masyarakat.
Kasihan Mat Rock. Sabarlah. Orang yang nak berubah ke arah kebaikan memang banyak ujiannya.

HIPOKRIT

KISAH MAT ROCK (2)
Kalau ada kawan atau orang lain yang baru nak berubah kita bagilah galakan dan sokongan moral.
Jangan pula nak perli atau kutuk. Takut nanti bila kita asyik perli saja akhirnya dia kembali ke perangai asal.
(Copy paste tak salah. Tapi bergantung pada niat. Kalau niat nak bagi pencerahan baguslah. Cuma pastikan sumber itu sahih. Kalau niat nak tunjuk pandai dan berlagak, sendiri mau ingatlah.)

AZAM

KISAH MAT ROCK (1)
Mat Rock pun sudah berazam nak sempurnakan tarawih 20 rakaat.
Tak kan kita, terutamanya Mat Songkok dan Mat Kopiah, cukup sekadar 8 rakaat saja?
Dari kecil sehinggalah dewasa ini tak kan kualiti puasa, solat, tarawih, tilawah, tadarus dan ibadah-ibadah lain kita sama saja. Mestilah ada peningkatan. Kan? Kan?

SIGNAL

Yang potong ikut lorong kecemasan, satu hal.
Yang potong tak bagi signal, satu hal.
Yang memandu macam pelesit, satu hal.
Kau apahal???

(Kawan, boleh tak kau senaraikan perangai pemandu yang bikin panas? Mana tahu kita mampu mengubahnya.)

LAGILAGIGILAGILA

Pameran ‪#‎lagilagigilagila‬ di Galeri Petronas KLCC yang sedang berlangsung sehingga bulan Julai ini mempamerkan kartun-kartun lagenda dari kartunis hebat era 80an seperti Jaafar TaibZainal Buang Hussein, Tazidi, Saadon IshakAza SofhiUjang Budak Minang dan ramai lagi.
Namun tahukah anda bahawa kartun aku juga ada di pameran tersebut? Bahkan menjadi kartun promo di laman sosial Galeri Petronas. Ya aku bukan kartunis generasi 80an nan gemilang itu. Aku generasi GILA-GILA terkini. Walaupun picisan tapi aku tumpang bangga menjadi sebahagian daripada warga GILA-GILA.
Mesti anda tidak perasan kartun aku kan? Mestilah tak perasan sebab aku pun baru terperasan semalam. 😊

(Kartun PST itu aku lukis tahun lepas.)

KAWAN

Walaupun mulut agak tak berapa nak cantik tapi dalam hati ada taman. Hahaha.

SELFIE

Seronok itu ada beberapa tahap.
Seronok = Tahap biasa.
Seronok gilew = Tahap 1. 
Seronok gilew bhabiew = Tahap 2.
Seronok gilew bhabiew sial = Tahap 3.
Seronok gilew bhabiew sial bodoh = Tahap Gaban.

Kawan, kau seronok tak hari ini?

ICON SMS

Dulu, masa zaman telefon bimbit skrin mono sebelum wujud skrin warna iaitu zaman sms sedang pesat, aku pernah membuat 19 rekaan icon sms format bitmap yang aku guna sendiri saja.
Zaman itu mana ada internet bahkan perkataan 'viral' pun masih janggal. Jadi tak tahulah icon ini pernah diviralkan atau tidak dulu.
Kawan, kau pernah guna tak dulu icon ini?

SAMA SAJA

Kalau kita dapat hindar, elak, dan tidak sebarkan keburukan melalui media sosial pun sudah kira baik.

Yang terbaik sekali ialah apabila kita dapat menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan.

Tapi janganlah menggunakan media sosial sehingga menyusahkan orang lain.

(Tak perlulah tepuk-tepuk dada. Benda mudah saja pun.)

PROMO ISU GG 772


GILA-GILA 772


Sabtu, 16 Mei 2015

PENTINGNYA FAHAM (31)

Ilmu tanpa zikir lebih buruk dari jahil manakala zikir tanpa ilmu lebih buruk dari lalai. Alangkah lemahnya iman kita. Kita membuat kebaikan dalam keadaan kita alpa. Sebab itulah penting kita belajar hakikat ilmu dan zikir.

Apabila kita mendapat hakikat ilmu dan zikir, insyaAllah kita akan tahu, faham dan dapat amal perintah ALLAH mengikut keutamaan dalam setiap masa dan keadaan.

(Sayalah itu kawan. Sayalah yang masih sangat jahil itu 😫)

Rabu, 6 Mei 2015

PENTINGNYA FAHAM (30)

Ada orang petah berkata. Boleh memperaga atau melebih-lebihkan ayat sehingga perkara yang kecil boleh dibesar-besarkan, yang tidak penting menjadi bualan dan yang tidak diketahui menjadi viral.

Perkataan atau kata-kata yang kita tuturkan yang berintonasi lembut mahupun susunan kata yang baik-baik atau tanpa maksud tersembunyi atau tanpa niat atau apa sekalipun mungkin akan tersebar dengan cara yang jauh menyimpang dari maksud sebenar kita.

Zaman ini bukan sahaja perbualan malah pesanan ringkas pun boleh disalah tafsir. Kita tulis kata yang mendatar tapi dibaca dengan nada menegak. Kita tulis dengan niat menasihati tapi dibaca dengan intonasi marah. Akhirnya kita yang tidak bersalah menjadi bahan fitnah, dimusuhi, dibenci, dijauhi dan dipandang serong.

(Kawan zaman fitnah yang serba laju ini lebih baik kita kurangkan bercakap atau berkata apabila perlu saja ataupun diam kerana apa yang kita cakap atau tulis hari ini akan tersebar esok lusa dengan cara dan cerita yang berbeza.)

SIRI SKETSA #28


PROMO ISU GG 771

GILA-GILA 771


Rabu, 29 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (29)

Arak atau minuman keras seperti yang kita sedia maklum adalah mutlak hukumnya haram. Hari ini arak dijual secara terbuka di pasaraya-pasaraya besar, kecil dan kedai runcit yang bahkan ada dijual dan diuruskan oleh pekerja Islam sendiri.

Sangat menyedihkan keadaan ini kerana pekerja beragama Islam yang menjadi juruwang dan membuat transaksi jual beli arak daripada pembeli bukan Islam. Sekiranya anda boleh menegur maka terangkanlah dengan kasih sayang. Jangan menegur dengan cara membuka aib mereka. Mungkin mereka tidak tahu bahawa dosa arak bukan hanya jatuh kepada peminum sahaja.

(Betapa lemah iman kita. Saya hanya mampu kasihan dan mendoakan bila ternampak juruwang Islam berurusan dengan pembeli arak. 😢)

Khamis, 23 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (28)

Apabila seseorang itu berbuat atau berubah atau mendekatkan diri ke arah kebaikan ataupun melakukan ibadah atau mengamalkan sunnah maka orang kita akan menggelar dan memanggilnya orang alim, ustaz, ustazah, berlagak, tunjuk pandai dan berbagai lagi kata pujian berbunyi sindiran dan retorik.

Memuji tidaklah salah tetapi cara pujian itu walaupun kedengaran baik namun sesetengah orang merasa rimas dan tidak suka dengan gelaran tersebut. Terkadang pujian-pujian itu bukan memberi galakan tetapi ada kalanya menjatuhkan mental seseorang.

Apalah salahnya kita beri galakan, sokongan atau ucapan tahniah kepada mereka. Orang yang berbuat kebaikan bukanlah asalnya orang yang baik. Mungkin orang itu berasal dari latar hidup yang jahil atau buruk. Kemudian kita memuji begitu dan tanpa diduga senyap-senyap dia makin jauh dari kebaikan kerana merasa tersindir dan tidak layak.

Perubahan seseorang ke arah keburukkan atau menjauhi kebaikan mungkin berpunca dari sikap kurang matang, gurauan, dan sindiran kita sendiri. Hati-hatilah apabila mengeluarkan kata-kata. Lidah lebih tajam dari mata pedang.

Selasa, 14 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (27)

Dunia Darul Asbab.

Gunalah sebanyak dan sebaik mungkin asbab. Tapi jangan sampai keyakinan dunia masuk dalam hati kita. Yakin kita hanya pada ALLAH. Asbab tak boleh buat apa-apa. Yang buat segala-galanya ialah ALLAH.

Jika kita yakin pada asbab maka apa beza kita dengan orang bukan Islam?

(Sayalah itu 😭)

#metafora

Jumaat, 10 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (26)

Sabar adalah sesuatu yang subjektif dan berbeda antara setiap manusia. Ada orang sabar diuji dengan kesusahan. Ada orang sabar diuji dengan kesenangan. Ujian kesabaran juga berbeza. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Bekerja itu ujian, menganggur juga ujian. Bujang itu ujian, berkahwin juga ujian. Pendek kata kesabaran kita diuji setiap masa dan keadaan.

Terkadang kita menjadi ujian kesabaran orang lain. Terkadang orang lain pula menguji kesabaran kita. Jadi marilah kita meringankan ujian orang lain moga-moga kesabaran kita tidak diuji dengan berat. Bila kita bertolak ansur dan toleransi insyaAllah hidup kita akan aman.

(Tapi tahap kesabaran pun ada batasnya. Saya juga terkadang hilang sabar. Ah tak apa Malaysia masih aman)

SIRI SKETSA #27


PROMO ISU GG 770


GILA-GILA 770

38 tahun bertahan dipasaran. Rugilah kalau tak melanggan setiap bulan bhai.

Rabu, 8 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (25)

Doa adalah senjata orang mukmin. Semua doa akan dimakbulkan dan tidak ada satu doa pun yang akan ditolak. Sama ada doa kita dibayar tunai, dijadikan terhindar bala, atau dibayar di akhirat kelak. Maka berdoalah yang baik-baik. Doa yang paling mahal ialah doa hidayah.

Sangat digalakkan kita memperbanyakkan doa. Doa dan usaha perlulah selari. InsyaAllah akan dimakbulkan kecuali atas sebab-sebab tertentu doa akan tertolak seperti sumber darah daging kita haram. Setelah berdoa, berusahalah kemudian tawakal. Atas kelemahan iman, kita tawakal saja. Kemudian baru kita nak berusaha. Akhirnya bila semua tidak menunjukkan hasil barulah kita terhegeh-hegeh berdoa bagai.

Ahad, 22 Mac 2015

PENTINGNYA FAHAM (24)

Menegur atau memberi teguran adalah amalan yang baik. Menerima teguran pula adalah lumrah dalam kehidupan seharian. Namun dalam memberi teguran ada seninya dan perlu kepada hikmah.

Seseorang biasanya boleh menerima teguran dan mampu berubah. Kadang kala disebabkan teguran juga seseorang boleh semakin jauh dan hilang pedoman. Bukan kerana ditegur tetapi kerana cara menegur yang salah walaupun niat kita baik.

Memberi teguran kepada seseorang secara khusus tidak sama dengan memberi teguran kepada masyarakat umum. Jika kita tidak tahu menegur mintalah kepada orang yang lebih arif. Yang kena tegur pula janganlah cepat terasa dan kecil hati bila ditegur. Cubalah terima secara terbuka dan berlapang dada.

Sabtu, 21 Mac 2015

10

Kolum atau siri 10 (Sepuluh) yang aku lukis dalam majalah GILA-GILA sejak hari pertama siri ini diperkenalkan hingga Mac 2015 telah mencapai 62 siri atau jika dikumpulkan sudah mencecah 124 muka surat.

Siri 10 adalah kartun bertemakan sekolah yang menceritakan kehidupan pelajar, guru, warga dan suasana sekolah. Tema sekolah diambil kerana ianya dekat dengan semua. Kita semua pernah bersekolah dan perkara ini pernah, sedang dan akan berlaku berulang di zaman persekolahan.

Sebahagian besar perkara dalam siri ini adalah pengalaman sendiri dan juga realiti yang terjadi. Mungkin anda juga sebahagian daripada cerita ini. Paling tidak anda pernah melaluinya sebagai seorang pelajar atau guru sekolah.
Kalau dikumpul semua siri ini sudah boleh buat buku koleksi.

Jumaat, 13 Mac 2015

PENTINGNYA FAHAM (23)

Kebenaran adalah nur atau cahaya. Bathil pula ialah kegelapan.

Sekiranya kita hendak menghilangkan gelap maka kita bawalah cahaya. Apabila kita cuba melagakan gelap dengan gelap ianya seperti menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak.

Ya tiada manusia yang sempurna. Tetapi kita cubalah sebaik mungkin sempurnakan hak sesama kita.

(saya juga masih banyak kekurangan 😢)