Ahad, 14 April 2013

IDEA DAN KONSEP

Seorang pelanggan meminta aku membuat tiga rekaan logo untuk syarikat dia yang baru sahaja ditubuhkan. Kami berjanji berjumpa seminggu selepas pertemuan itu. Hari itu ialah hari ini.

Aku menunjukkan beberapa rekaan kepada dia. Biasanya aku akan membuat lebih dari tiga rekaan untuk persembahan. Dia melihat dengan teliti. Aku pada mulanya kagum tengok cara dia melihat rekaan-rekaan itu. Gementar juga ada. Lagaknya seperti seorang yang sudah lama bergiat dalam bidang seni.  Dalam fikiran aku mungkin selepas ini kami akan berbincang dan berdiskusi tentang rekaan-rekaan itu. Nampaknya aku perlu bercakap menggunakan istilah-istilah seni. Aku bersedia.

Kemudian dia pun berkata "Apa yang awak buat ini?" Ini soalan menguji. Aku pun menerangkan bagaimana proses menghasilkan rekaan-rekaan tersebut. "Mengarut!" kata dia. "Saya tengok semua ini macam main-main saja," sambungnya lagi. Dia mula mempersoal kenapa rekaan itu begitu begini. Aku biasa menghadapi pelanggan seperti ini. Memang sudah dijangka.

Aku menunjukkan buku lakaran aku kepadanya. Dia membelek buku itu. Aku berkata ini adalah idea dan lakaran. "Ini awak kata lakaran? Lukisan cincai macam budak kecil." Aku bersabar. "Apa kena mengena dengan gambar syarikat saya pula ini?" dia melihat beberapa gambar syarikat dan produk jualan syarikat dia ada di muka mula buku lakaran itu. Aku menjelaskan "Itu rujukan saya dalam menghasilkan logo syarikat encik. Saya membuat rekaan berdasarkan konsep syarikat encik," Dia mula mencebik. "Apa pula konsep-konsep ini? Ingat ini lagu ke ada konsep balada ada rock ada dangdut?" Aku tercabar. Aku tahu dan faham aku sedang berdepan dengan seorang yang buta seni dan ego tinggi melangit. Aku tahu apa yang orang tua ini inginkan dan tekaan aku tepat apabila dia berkata dengan gaya kononnya tahu semua "Saya tak nak konsep-konsep ini. Saya nak yang cantik. Rekaan awak ni langsung tak cantik. Tiada seni!"

Aku menarik diri. Tanpa bayaran sesen pun. Beberapa hari kemudian aku kebetulan lalu dihadapan syarikat orang tua itu. Di atas pintu syarikat terletak logo yang kononnya cantik dan berseni. Aku tak tahu siapa yang mereka cipta logo itu. Mungkin orang tua itu sendirilah. Kesian. Untuk mencipta logo sekurang-kurangnya seseorang itu perlu tahu asas seni. Perlu ada idea perlu ada konsep. Orang-orang awam macam orang tua itu hanya menilai cantik itu sebagai seni. Seni itu memang cantik tapi cantik saja belum tentu berseni.
"Kau tengah buat apa tu?"
"Err aku tengah cari idea ni Jo..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan