Selasa, 18 Disember 2012

KARTUN PICISAN

Aku punya wawasan besar dan visi yang jelas dalam berkartun. Sejak mula aku melukis iaitu ketika aku kecil -sudah tentu- aku sudah mempunyai pandangan yang optimis tentang kartun. Ini serius. Aku bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang kartunis yang bukan saja popular tetapi juga disegani, berpengaruh, dan mencipta fenomena. Bukan itu saja, aku juga mahu membina empayar sendiri dalam bidang ini.

Untuk tujuan itu aku sudah pun mencapai beberapa matlamat yang aku rancang sejak dulu. Salah satunya ialah menjadi kartunis. Alhamdulillah aku kini telah pun bergelar kartunis majalah GILA-GILA. Masih ada banyak lagi tangga yang perlu aku daki sebelum sampai ke matlamat yang besar itu. Mungkin kedengaran agak pelik sedikit. Kenapa bercita-cita ingin menjadi kartunis? Kenapa tidak pilih doktor, polis, jurutera, atau pemuzik. Pemuzik? (kata Ibu mertua Kassim Selamat). Soalan itu aku sukar nak jawab. Cuma apa yang boleh aku kata ialah aku berjiwa seni.

Apa yang harus aku buat sekarang ialah mula. Ya mula melakukan apa yang sepatutnya aku perlu buat bagi mencapai matlamat besar itu. Dalam kepala otak aku yang agak serabut ini aku akan mula dengan kartun bertemakan isu kecil-kecil. Aku sendiri namakannya sebagai kartun picisan. Kerana pada aku sudah ramai kartunis yang membawa isu berat atau mungkin sederhana. Jadi biarlah aku yang masih kecil ini membawa isu-isu yang kecil-kecil.
Aku ada kelebihan boleh melukis sambil tidur. Hahaha tak percaya? Tak caya sudah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan