Hari selasa, kursus bermula jam 8 pagi, jam 7:30 pagi aku bertolak dari rumah. Seperti jangkaan aliran trafik sangat sesak dan menyesakkan. Mujur aku menaiki kuda besi yang bertahun sudah usianya. Perjalanan agak lancar walaupun kalut sedikit kerana perlu mencilok deretan kenderaan pekerja-pekerja dedikasi yang setiap hari melalui jalan yang sama, kesesakan yang sama, masa yang sama - demi menjalankan amanah dan mencari sesuap nasi - setiap hari. Tepat 5 minit sebelum jam 8 aku sampai ditempat kursus. Sebelum bertolak tadi aku sudahpun bersarapan secawan oat.
Kursus berjalan seperti biasa dan kebiasaannya tidak ada yang luar biasa. Di dalam surat panggilan, kursus bermula jam 8 pagi tetapi lewat 30 minit barulah pengacara majlis menghidupkan microphone. Itupun makan masa 5 minit lagi mendengung-dengungkan sistem bunyi dan beberapa minit lagi untuk menunggu peserta-peserta kursus habis bersarapan di luar dewan. Jadi secara tepat aturcara bermula jam 9. Memang sakit otak. Kursus berjalan agak membosankan, satu hala, dan kami peserta hanya duduk dengar sahaja. Rehat jam 10 untuk minum selama 15 minit tetapi terlajak sampai setengah jam. Kursus tamat jam 1 petang diakhiri dengan majlis makan tengahari. Padahal dalam surat kursus tamat jam 5 petang. Oklah juga. Boleh balik awal.
Ketika aku sedang khusyuk melantak aku dipanggil oleh seorang urusetia. Setelah habis makan aku pun berjumpa dengan urusetia tersebut. Katanya "Encik dah salah isi borang tuntutan perjalanan." Aku mengerut kening. Setahu aku masa isi borang tadi tiada kesilapan atau terlepas pandang. Maklumlah sudah biasa isi borang claim. Tapi aku bertanya juga "Di mana yang tak lengkap tu Encik?" Dengan nada bersahaja dia menjawab "Oh bahagian kenderaan ni. Encik tak boleh letak motosikal. Motosikal tak boleh nak claim. Encik letak kereta. Encik ada kereta kan?" "Ada tapi dirumah. Saya datang tadi naik motor," jawabku. "Tak apa. Encik tulis je kereta. Lagi besar CC lagi besar claim." Kini aku serba salah. Sama ada nak letak kereta atau biarkan sahaja motosikal. Soalnya begini, kalau anda pergi kursus yang dipanggil maka anda layak membuat tuntutan perjalanan pergi dan balik termasuk tol jika ada. Syarat kelayakan ialah kenderaan berat atau teksi. Motosikal, bas dan kenderaan awam lain tidak layak membuat sebarang tuntutan.
"Saya datang tadi naik motor Encik. Bukan kereta." Aku menjelaskan. Urusetia itu menerangkan pula "Saya tahu. Encik cuma perlu tulis kereta je dalam borang tuntutan. Kalau tak Encik tak dapat apa-apa." "Encik kalau tak dapat apa-apa pun tak apa. Lebih baik dari saya menipu untuk dapatkan beberapa ringgit claim." Aku mengambil borang tersebut dan menyimpan di dalam fail peserta. Aku senyum, mengucap terima kasih dan meminta diri. Dalam perjalanan balik itu sayup-sayup aku dengar urusetia itu merunggut "Bodoh punya orang. Duit pun tak nak. Macam ini punya orang pun ada!"
"Takpe kalau encik takde kereta encik letak kereta bapa encik. Lagi besar CC lagi besar claim."
"Atuk saya ada lori 2 tan. Boleh letak tak encik?"
betul ke dia ckp 'bodoh pnye org..?' huhu...
BalasPadamLebih kurang la
Padambukan tak nk duit tp jujur...
Padam