Di dalam kelas mereka berdua begitu aktif. Membuat pembentangan, perbincangan kumpulan, bahkan saling berdebat. Cerita bab berdebat aku teringat satu perdebatan mereka semasa kelas agama. Mereka berdua bukanlah alim tapi tidaklah jahil. Jadi apabila ada sesi kumpulan atau perbincangan, ustaz selalu memisahkan mereka. Apabila mereka mula berdebat kami terdiam dan terpana. Mereka hanya akan berhenti bila ustaz menghentikan mereka. Kalau tak dihentikan rasa-rasa mau sampai malam tak habis.
Bukan itu saja. Dalam kelas-kelas lain juga mereka berdua memang jaguh. Baik bidang bahasa, sastera, sains, maupun dalam bersukan mereka selalu bersaing. Aku tidak pernah tengok pun mereka cepat mengalah. Meskipun berbeza pendapat, pandangan dan selalu bersaing mereka tidak pernah sekalipun aku lihat bergaduh atau bertekak. Bahkan mereka semakin hari semakin kamceng. Aku pernah saksikan mereka berdebat dalam kelas bahasa. Bahas pencadang dan pembangkang. Hari itu mereka betul-betul serius. Kami hanya terdiam membisu. Aku rasa selepas itu persahabatan mereka pasti akan tamat. Siapa yang pernah tengok pertandingan bahas mesti dia tau betapa ahli panel akan sehabis baik menegakkan hujah masing-masing. Aku takut mereka berdua akan bertumbuk di luar sekolah selepas bahas. Tapi sangkaan aku silap. Mereka bukan saja masih berkawan tapi nampak lebih akrab macam adik beradik lagi ada.
Sudah lebih sepuluh tahun aku tak jumpa Kasim. Karim kali terakhir aku jumpa setahun yang lepas. Karim ketika itu sudah menyandang jawatan ahli politik di sebuah kawasan di kampung halamannya sendiri. Karim selalu menghubungi aku selepas kebetulan berjumpa tempoh hari. Aku pula selalu mengelak kerana tiap kali dihubungi Karim selalu melobi aku memasuki parti yang dinaunginya. Aku rasa bersalah setiap kali terpaksa menolak dan memberi bermacam-macam alasan. Maklumlah Karim kawan baikku sejak bangku sekolah lagi. Tidak pernah terlintas difikiranku untuk bertanya tentang Kasim.
Baru-baru ini aku terserempak dengan Kasim. Penampilannya jauh berbeza. Badannya tinggi lampai, berpakaian ala ustaz, berkupiah, dan ada janggut sejemput didagunya. Aku terkejut semasa bersalam dengannya. Aku teringat semasa zaman sekolah kami dulu. Sama-sama pernah mencuri buah mangga dihalaman masjid di kampung dulu, mengambil buah kelapa di belakang rumah Ketua Kampung, dan ponteng sekolah ke kedai permainan video bermain game street fighter yang amat popular suatu ketika dulu. Banyak lagi kenakalan yang kami sama-sama lakukan dulu. Adakah Kasim telah bertaubat? Aku macam tak percaya. Tapi manusia berubah. Aku bersangka baik sahaja. Kami berdua duduk minum di restoran mamak berdekatan. Baru aku tahu Kasim juga telah memasuki bidang politik. Aku tiba-tiba teringatkan Karim yang juga ahli politik. Aku bertanya "Kau masih berhubung dengan Karim?" "Karim?" katanya jelek. Jelas air muka Kasim berubah. "Karim dengan aku dah tak sehaluan. Perjuangan kami berbeza." "Apa maksud kau?" "Malas aku nak cakap. Nanti kau jumpa Karim kau tanyalah dia sendiri."
Seminggu selepas itu aku bertemu dengan Karim. Kami minum petang di kedai kopi. "Kau tak tau Kasim dengan aku parti lain. Dia tu pembelot pada bangsa. Kau tau apa dia buat? Kononnya nak membangunkan bangsa beriman. Beragama. Huh! Perangai dia saja tak pernah berubah." Suara Karim lantang sehingga menarik perhatian beberapa orang pelanggan. Air muka Karim berubah kemerahan. Aku cuba menenangkannya dengan cuba mengubah topik perbualan. "Err kau tak berjumpa dengan dia lagi? Dah lama kan kita bertiga tak jalan sama-sama. Ingat tak dulu kita pernah lepak main game?" kataku mengimbas kembali masa lalu kami bertiga. "Aku tak ingin nak tengok muka pembelot itu lagi!" Aku jadi serba salah. Nak menangkan Kasim atau Karim. Dua-dua kawan aku.
Beberapa hari selepas itu, semasa aku melayari internet, aku melihat dalam laman YouTube perbahasan politik antara Kasim dan Karim. Dalam video berdurasi 35 minit itu jelas mereka berdua memang tidak sehaluan, bertekak dan menegakkan hujah masing-masing. Aku tak sanggup membuka beberapa video lagi yang dicadangkan berkaitan perbahasan dan pergolakkan ideologi mereka berdua. Aku hiba. Aku teringat debat mereka semasa di sekolah dulu. Sama hebat dengan apa yang aku saksikan di laman YouTube. Tapi apa yang membuat aku kesal disebabkan politik dan ideologi, mereka berdua sudah tidak berkawan lagi. Tidak kamceng dan tidak macam dulu.
Bahaya juga main politik ini. Kawan boleh jadi lawan. Musuh boleh jadi kawan. Tak kira la berbeza pendapat dan ideologi tapi kita semua kan seagama. Seagama itu sudah cukup untuk kita tidak berpecah. Apa kau mahu letak agama dibelakang pula?
Aku membayangkan mereka berdua seperti permainan video
street fghter. (Game itu aku masih main sampai sekarang)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan