Rabu, 10 September 2014

3M

Meor, Mail dan Meon adalah tiga watak sinonim dalam majalah GILA-GILA. Ramai yang tidak tahu idea kartun 3M pada mulanya dilukis untuk pameran kartun pada tahun 1998 yang telah dipamerkan kepada umum di Balai Seni Lukis Sabah. Pada tahun 2009 barulah siri 3M dilukis secara rasminya dan telah menjadi kolum tetap serta popular di dalam majalah GILA-GILA sehingga kini.

3M menceritakan kisah tiga orang remaja yang berkawan baik sejak kecil lagi. Dengan berlatarkan suasana kampung kehidupan mereka penuh dengan senda gurau, saling membantu, setia kawan, tangis, tawa, marah, gaduh, kawan balik, gaduh, kawan balik, gaduh lagi, kawan balik lagi dan begitulah selayaknya kawan baik.

Sebermula kisah apabila Meor telah jatuh cinta pandang pertama pada seorang gadis, anak Ketua Kampung, iaitu Elyana. Sejak itu Meor dijangkiti penyakit angau. Setiap hari Meor berusaha memikat, menawan, mendekati, dan cuba berbicara walau sekejap dengan Elyana. Namun usahanya tidak pernah berjaya. Selain malu, Meor juga gemuruh, kaku, takut, serta hilang kata apabila terlihat walau bayang gadis pujaannya itu. Kisah cinta Meor yang bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang peningkatan agak tragis, memilukan dan kadang-kadang menjengkelkan.

Dua kawan baiknya iaitu Mail dan Meon adalah tempatnya meluahkan rasa cinta yang belum nampak perubahan dan kesudahan. Walaubagaimanapun Mail dan Meon tetap setia melayan ulah dan perangai yang terkadang menyampah atau kata asalnya iaitu sampah. Biasalah orang tengah angau dan derita sakit cinta. Macamlah anda tidak pernah alami sendiri. Bagi yang mengikuti siri ini dari mula lagi, anda akan dapat memahami jalan cerita yang pelbagai ragam bukan sahaja kisah cinta karat itu tetapi juga kisah kehidupan harian mereka bertiga yang lucu dan mengusik jiwa. Siri ini juga turut dibantu oleh beberapa watak sampingan terutama dua ekor kambing yang genius.

Dalam usaha Meor mendapatkan cinta dari gadis manis nan misteri itu, mampukah Meor meraih cinta dari Elyana? Atau berbicara walau seketika? Atau mendapat respon baik dari Elyana? Atau dapatkah Meor melamar buah hatinya itu kelak? Atau cinta Meor hanya bertepuk sebelah tangan? Apakah yang akan berlaku seterusnya? Sama-samalah kita ikuti siri ini yang aku sendiri tidak tahu bila akan berakhir dan apa kesudahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan