Khamis, 27 November 2014

MENAKLUK CITA-CITA

Tidak tahu bagaimana dan bila bermulanya aku melukis kerana tidak ada hasil lukisan semasa kecil yang tersimpan. Cuma yang masih aku ingat dengan jelas iaitu ketika rakan-rakan berkata dengan was-was mahu menjadi polis, tentera, jururawat, doktor dan cikgu, aku sudah bercita-cita mahu menjadi kartunis yang berjaya. Ya melukis kartun. Cita-cita itu bulat dan tidak dapat diganggu gugat. Ketika itu aku baru tingkatan 2.

Sejak aku bercita-cita yang bukan main-main itu, aku semakin giat dan rajin menconteng, melakar, melukis dan menulis. Aku menyertai pertandingan, pameran, dan cuba menghantar kartun ke majalah GILA-GILA.

Semasa tingkatan 5 aku sempat bertemu muka dengan kartunis Rejabhad atau Penghulu GILA-GILA dan berbengkel kartun dengan beliau. Aku diajar seni dalam berkartun yang masih aku pratikkan hingga kini. Bahkan aku mendapat nasihat dan bengkel secara personal ketika aku membawa beliau berjalan-jalan dan menikmati makanan tradisional di rumah yang dimasak sendiri oleh emak aku.

Beberapa koleksi kartun zaman sekolah menengah masih tersimpan dengan baik. Masa itu aku sudahpun menggunakan nip pen atau pen celup dan dakwat hitam pelikan. Gaya lukisan (stroke) dan idea masih mentah dan terikut-ikut. Antara kartun itu ada yang telah dipamerkan di Balai Seni Lukis Sabah dan ada beberapa yang dilukis semula dengan nafas baru dalam majalah GILA-GILA.

Satu perkara yang boleh aku kongsikan ialah jika anda belum ada cita-cita atau masih mencari cita-cita maka carilah cita-cita yang anda betul-betul inginkan, yang sesuai dengan jiwa anda, yang selari dengan bakat anda. Pegang dan jangan lepaskannya, sabar dan terus berusaha sehingga anda berjaya kelak. Ingatlah kejayaan tidak diperolehi dalam masa yang singkat. Kata bijak pandai negara Rom tidak dibina dalam masa satu hari. Tidak mengapa kalau pekerjaan dan cita-cita anda tidak seiring kerana cita-cita bukan untuk dikejar tetapi untuk ditakluk. Hari ini aku masih lagi mendaki cita-cita sebagai kartunis dan pendakian aku masih lagi dikaki gunung.

Cukuplah 5 koleksi kartun zaman sekolah aku untuk tatapan bersama.