Khamis, 23 April 2015

PENTINGNYA FAHAM (28)

Apabila seseorang itu berbuat atau berubah atau mendekatkan diri ke arah kebaikan ataupun melakukan ibadah atau mengamalkan sunnah maka orang kita akan menggelar dan memanggilnya orang alim, ustaz, ustazah, berlagak, tunjuk pandai dan berbagai lagi kata pujian berbunyi sindiran dan retorik.

Memuji tidaklah salah tetapi cara pujian itu walaupun kedengaran baik namun sesetengah orang merasa rimas dan tidak suka dengan gelaran tersebut. Terkadang pujian-pujian itu bukan memberi galakan tetapi ada kalanya menjatuhkan mental seseorang.

Apalah salahnya kita beri galakan, sokongan atau ucapan tahniah kepada mereka. Orang yang berbuat kebaikan bukanlah asalnya orang yang baik. Mungkin orang itu berasal dari latar hidup yang jahil atau buruk. Kemudian kita memuji begitu dan tanpa diduga senyap-senyap dia makin jauh dari kebaikan kerana merasa tersindir dan tidak layak.

Perubahan seseorang ke arah keburukkan atau menjauhi kebaikan mungkin berpunca dari sikap kurang matang, gurauan, dan sindiran kita sendiri. Hati-hatilah apabila mengeluarkan kata-kata. Lidah lebih tajam dari mata pedang.